Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Kes bunuh pembantu rumah: Kontraktor, bekas isteri dipenjara 34 tahun
Published on: Saturday, June 21, 2025
Published on: Sat, Jun 21, 2025
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Kes bunuh pembantu rumah: Kontraktor, bekas isteri dipenjara 34 tahun
Ambree (kiri) kelihatan terkejut, manakala Etiqah (kanan) tidak dapat menahan emosi dan menangis selepas keputusan dibacakan.
Kota Kinabalu: Seorang kontraktor dan bekas isterinya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 34 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat, selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka empat tahun lalu.

Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, dan Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, disabitkan bersalah oleh Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng atas pertuduhan membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, 28, antara 8 hingga 11 Disember 2021, di sebuah unit di Amber Tower, Kondominium Lido Avenue, Penampang.

Advertisement
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta dari tarikh sabitan, iaitu Jumaat. Ambree juga dikenakan hukuman 12 sebatan manakala Etiqah tidak disebat kerana faktor jantina.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Ambree kelihatan terkejut, manakala Etiqah tidak dapat menahan emosi dan menangis selepas keputusan dibacakan.

Dr Lim, dalam penghakimannya, berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Advertisement
Katanya, Ambree dan Etiqah masing-masing mengemukakan pelbagai pembelaan dalam usaha saling menuding jari, termasuk tetapi tidak terhad kepada isu kebolehterimaan bukti video dan telefon bimbit, bukti fakta atau peribadi buruk, soal motif dan alibi, kenyataan yang diberikan kepada Pegawai Penyiasat berhubung barang kes yang digunakan untuk menyebabkan kecederaan kepada mangsa, kelakuan mereka, punca kematian, tiadanya niat bersama dan sebagainya.

Dr Lim berkata, bagaimanapun, tiada keraguan munasabah berjaya ditimbulkan oleh Ambree mahupun Etiqah.

Advertisement
Dalam menjatuhkan hukuman, Dr Lim berkata mahkamah mengambil kira kepentingan awam, keseriusan kesalahan serta perlunya hukuman yang memberi pengajaran, selain faktor kedua-duanya merupakan pesalah kali pertama.

“Walaupun peguam bela masing-masing mengemukakan rayuan mitigasi yang menyentuh hati, mahkamah tidak dapat mengabaikan kekejaman yang dialami si mati di tangan kedua-dua tertuduh, seperti yang dihujahkan pihak pendakwaan.

“Mahkamah mengambil kira ciri kecederaan serta cara ia dilakukan dalam tempoh masa tertentu,” kata Dr Lim.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus memohon mahkamah mengenakan hukuman mati kerana kes ini tergolong dalam kategori “amat jarang berlaku” yang disebabkan oleh kekejaman melampau dan berpanjangan.

Dia berhujah bahawa pembunuhan itu bukan saja mengejutkan rakyat Sabah tetapi juga seluruh negara, dan dengan itu mewajarkan hukuman sepenuhnya.

Dacia berkata, mangsa merupakan pembantu rumah muda yang meninggalkan tempat asalnya serta memasuki rumah Ambree dan Etiqah untuk bekerja secara jujur demi kelangsungan hidup semasa pandemik.

Ketika orang lain tinggal di rumah semasa pandemik demi keselamatan, simati mengalami sebaliknya – dia mengalami penderitaan berpanjangan di rumah majikannya, yang akhirnya membawa maut.

Ambree dan Etiqah, sebagai majikannya, sepatutnya sepatutnya memberi tempat perlindungan, memberi makan dan keselamatan. Sebaliknya, mangsa diseksa setiap hari, dinafikan hak asas dan diragut nyawanya, kata Dacia.

“Bukti video dan gambar yang ditemui dalam telefon bimbit tertuduh menunjukkan penderitaan yang dirakam sendiri, mencerminkan niat jahat mereka.

“Mayat mangsa sangat terjejas hingga suaminya hanya dapat mengenalpastinya melalui gelang di pergelangan tangannya – satu-satunya saksi bisu kepada kehidupan dan penderitaannya,” katanya.

“Ini bukan pembunuhan spontan, tetapi kekejaman yang disengajakan dan berlaku berulang kali,” tegasnya.

Dacia berhujah bahawa keadilan menuntut hukuman muktamad, dan kes itu jelas dalam kategori “amat jarang berlaku”

Katanya, jika mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati, Dacia mencadangkan hukuman maksimum iaitu 40 tahun penjara dan 12 sebatan sebagaimana lazim dalam kes penderaan berpanjangan.

Sementara itu, Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ambree merujuk kepada Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan memohon hukuman penjara 30 tahun serta empat sebatan.

Dia berkata Ambree telah bercerai, menjaga tiga anak kecil, insaf, dan ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Ram menambah ia bukan pembunuhan dirancang, Ambree merupakan pesalah kali pertama dengan alibi, dan tidak berniat menyebabkan kematian mangsa.

Peguam Datuk Seri Rakhbir Singh yang mewakili Etiqah pula berkata, anak guamnya telah bercerai sejak Julai 2024, tiada rekod jenayah lampau, mengalami masalah kesihatan mental, dan sedang mengambil pelbagai ubat.

Tambahnya, Etiqah juga menjaga tiga anak kecil — sepasang kembar berusia enam tahun dan seorang anak berusia tujuh tahun — dan kesal atas kejadian itu.

Perbicaraan bermula 24 Jun 2024 dengan 17 saksi dipanggil termasuk dua saksi pembelaan. Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah pada 17 Nov 2022 dan diperintah membela diri pada 2 Okt 2024. Ambree dan Etiqah masing-masing memberi keterangan bersumpah pada 21 Okt dan 2 Dis tahun lalu.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here