Advertisement
SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Advertisement
Advertisement
Sipak Manggis, permainan tradisi yang hampir menyerupai sepak takraw ini sangat terkenal dimainkan sejak dahulu oleh semua suku kaum seperti Dusun, Bajau dan Iranun pada majlis keramaian di Kota Belud.
Namun uniknya, berbeza dengan sepak takraw, pengantin lelaki akan menyepak bola yang dilontarkan oleh pengantin perempuan ke arah ‘rumah kecil’ yang dihias warna-warni dalam keadaan tergantung pada tiang buluh dengan ketinggian kira-kira 15 meter.
Selepas turun dari kereta perahu, pasangan pengantin dan pengapit akan melilingi tiang Sipak Manggis lalu sebaik sepakan dilakukan sebanyak tiga kali, maka majlis perkahwinan itu juga sah dirasmikan oleh pasangan pengantin sendiri.
Permainan yang diadakan di halaman rumah pengantin perempuan ini seterusnya disambung bagi memberi peluang kepada pihak keluarga, saudara-mara pengantin serta tetamu yang hadir untuk merebut hadiah lumayan yang disediakan pihak pengantin.
Dengan penyertaan tetamu, ia sekali gus memupuk semangat persaudaraan baharu dan mengeratkan hubungan antara keluarga pihak pengantin serta menjalin perpaduan antara masyarakat.
Menurut penduduk, pada zaman dahulu perkataan ‘sipak’ diambil daripada cara bermain seperti sepak takraw manakala ‘manggis’ adalah buah manggis yang diisi dalam replika rumah kecil atau bakul yang digantung pada tiang.
Namun, buah manggis kini jarang digunakan dan digantikan dengan wang kertas atau hadiah yang lumayan mengikut permintaan keluarga pengantin perempuan.
Pada masa sama, acara ‘Rebut Mahligai’ turut disediakan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. Pelbagai jenis makanan ringan seperti gula-gula, snek, coklat dan keropok serta sampul berisi wang kertas digantung menggunakan benang yang disusun rapi pada rangka mahligai.
Kebiasaannya, hampir semua kanak-kanak tidak akan melepaskan peluang mengikuti permainan kerana masing-masing berpeluang mendapatkan ‘isi’ mahligai yang berjumlah sangat banyak. Ibu bapa juga tidak perlu berasa risau kerana keselamatan permainan ini akan dipantau oleh orang dewasa serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Seterusnya, tarian Sumazau yang dipersembahkan sekumpulan penari kebudayaan yang juga merupakan saudara terdekat pengantin. Kedua pengantin beserta pihak keluarga juga akan turut menyertai tarian secara berpasangan dengan paluan alat muzik tradisional.
Sementara itu, keluarga sebelah pihak lelaki dikenali Rayner, 25, berkata, upacara perkahwinan yang disusuli majlis keramaian penuh adat ini menjadikan sambutan cukup unik dan harmoni.
“Rombongan kami yang kebanyakkannya merupakan etnik Dusun Liwan dari Kiulu, Tuaran ini sangat bertuah kerana berpeluang meraikan majlis perkahwinan abang saya sendiri dalam suasana yang lebih istimewa berikutan terdapat beberapa acara adat dan budaya yang berbeza walaupun kebanyakkannya masih sama seperti bahasa, tarian dan masakan”.
“Apa yang menarik, ini adalah kali pertama saya merasai sendiri pengalaman menaiki ‘kereta perahu’ sebagai pengapit dan berpakaian tradisi Sinipak serta bermain ‘Sipak Manggis’.
“Suasana menjadi sangat meriah dengan kehadiran lebih 500 tetamu apatah lagi majlis yang diisi dengan pelbagai acara menarik untuk mengeratkan hubungan persaudaraan antara satu sama lain.
Majlis yang diakhiri dengan acara potong kek itu turut menyediakan hadiah tiket bertuah kepada tetamu dan acara minuman tradisi bagi yang bukan beragama muslim manakala bagi yang beragama muslim digantikan dengan minuman lain.






