Kota Kinabalu: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menggesa agar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dikaji semula secara menyeluruh, dengan menegaskan bahawa kepentingan Sabah perlu dirunding secara kerajaan dengan kerajaan dan bukan melalui saluran parti politik.
“Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri mesti bersifat antara kerajaan, bukan antara parti,” tegas Armizan, dalam kritikan tajam terhadap bagaimana dominasi politik nasional boleh menjejaskan keutamaan negeri.
Beliau berkata GRS tidak menolak kerjasama dengan parti-parti nasional, namun percaya parti-parti tempatan mesti menerajui kerajaan Sabah bagi menjaga kepentingan negeri.
“Sering kali, apabila kedua-dua peringkat kerajaan dikawal oleh parti nasional yang sama, hal ehwal negeri dibincangkan terlebih dahulu secara tertutup dalam kalangan pimpinan parti. Ini menjejaskan suara Sabah,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa rundingan dalaman parti boleh menyebabkan kepentingan persekutuan diutamakan berbanding keprihatinan wilayah, terutama apabila kesetiaan kepada parti nasional dianggap mutlak.
“Kita telah menyaksikan perkara ini berlaku dalam kelewatan pelaksanaan MA63 selama beberapa dekad, di mana tuntutan negeri disenyapkan atas dasar kepartian,” kata Armizan.
Walaupun beliau mengalu-alukan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih responsif terhadap MA63, Armizan memberi peringatan bahawa hak-hak negeri tidak seharusnya bergantung kepada keikhlasan individu tertentu.
“Komitmen boleh berubah mengikut kepimpinan di peringkat Persekutuan. Sebab itulah kita perlukan satu model struktur yang menjamin kepentingan Sabah sentiasa dihormati, tidak kira siapa yang memerintah.”
Beliau mengulangi falsafah asas GRS iaitu “Sabah First”, dengan menekankan bahawa kerajaan negeri mesti sentiasa mengutamakan agenda Sabah.
“Kita tidak menolak kepentingan nasional, tetapi biarlah kerajaan Persekutuan memperjuangkannya. Kerajaan negeri mesti diterajui oleh parti-parti tempatan yang memahami dan mengutamakan Sabah.”
Ketika Sabah bersiap sedia untuk pilihan raya negeri akan datang, Armizan mengulangi hasrar GRS untuk terus memimpin pentadbiran negeri.
“Pilihan raya ini adalah tentang memilih kerajaan Sabah. Biarlah parti-parti nasional memimpin Putrajaya. Kita akan sokong dan bekerjasama. Tetapi biarlah parti tempatan memimpin di Sabah,” katanya.
Beliau turut berkata GRS kekal terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti nasional, termasuk semasa pilihan raya, tetapi dengan syarat parti-parti tempatan diberi ruang untuk bertanding dan memimpin di peringkat negeri.
“Inilah model yang menjadi asas kerjasama GRS–PH Plus pada masa ini, gabungan Persekutuan yang diketuai parti nasional dan kerajaan Sabah yang berlandaskan kepimpinan tempatan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Darau pada Ahad.
Sementara itu, ahli langsung GRS Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menggesa pemimpin Sabah agar mengatasi persengketaan politik dalaman dan menumpukan kepada visi bersama untuk masa depan negeri.
“Kita perlu hentikan pertelingkahan. Pemimpin Sabah sudah bertelingkah sesama sendiri selama bertahun-tahun. Kenapa kita tak boleh bersatu, bersikap objektif dan melihat ke hadapan demi masa depan Sabah, terutama untuk generasi akan datang?” soalnya.
Beliau berkata demikian mengulas segelintir pemimpin dan orang awam yang mahu GRS bertanding secara solo, sambil mengajak mereka untuk merenung apa sebenarnya yang Sabah perlukan.
“Adakah kita mahu terus bertelingkah? Atau kita mahu bawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi?” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Moyog di Penampang, juga pada Ahad.
Khairul menegaskan bahawa kemajuan sebenar memerlukan keikhlasan dan mereka yang melihat kepimpinan hanya sebagai batu loncatan peribadi tidak akan mampu membawa perubahan.