PENAMPANG: Polis di sini sedang menjalankan siasatan terhadap satu video tular berdurasi satu minit 34 saat yang dimuat naik ke media sosial, memaparkan seorang lelaki didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Putatan.
Dalam video berkenaan, kedengaran suara seorang wanita dengan nada marah yang dipercayai ibu kepada mangsa, memarahi lelaki berkenaan di sebuah kedai runcit dan menuduhnya melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap anak perempuannya.
Wanita itu turut menyatakan bahawa dia akan membuat laporan polis terhadap lelaki terbabit dan meminta lelaki itu bersedia untuk dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan dakwaan dalam video itu pada jam 8.09 malam, Sabtu lalu dan video itu mula tersebar secara meluas pada pagi Ahad.
“Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan polis dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya di sini, Ahad.
Sammy turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan hak mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Kalista Demson di 011-33980319,” tambahnya.