TAWAU: Seorang peguam wanita terkejut selepas mendapati kawasan rumahnya diceroboh seorang lelaki tidak dikenali malah cuba membuka pintu keretanya dalam kejadian di Taman Berjaya Dua, Batu 2 Jalan Apas pada Sabtu.
Insiden terbabit dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.39 pagi ketika mangsa berumur 32 tahun itu dan keluarganya berada di tingkat dua rumah dan hanya disedari selepas menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata berdasarkan video rakaman CCTV terbabit suspek turut dilihat cuba membuka pintu kenderaan milik keluarga mangsa namun semua percubaannya gagal.
“Selepas melihat rakaman video itu pengadu terus bergegas melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan dalam dan luar rumah sebelum mendapati tidak ada barang yang hilang atau dicuri,” katanya pada Ahad.
Jasmin berkata siasatan polis mengesyaki suspek memasuki kawasan rumah mangsa dengan memanjat pagar hadapan kediaman berkenaan dan meninggalkan tempat itu menggunakan laluan sama.
Mengulas lanjut kediaman pengadu didapati jenis rumah teres dua tingkat yang dikelilingi pagar besi dan terang pada waktu malam dengan adanya pencahayaan dari lampu di sekitar kawasan terbabit.
“Berdasarkan rakaman CCTV suspek dilihat memakai penutup muka semasa berlegar-legar di kawasan rumah pengadu sebelum meninggalkan tempat itu selepas percubaannya membuka pintu kereta milik mangsa dan keluarganya tidak berjaya,” katanya.
Bagaimanapun imej wajah suspek tanpa bertopeng berhasil dikesan oleh pihak polis menerusi rakaman CCTV yang kemudiannya membawa kepada edaran awam dalam bentuk bergambar sebagai orang dikehendaki.
Pada masa sama orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Ali di 017 - 8945584 atau balai polis berdekatan.
Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (menceroboh) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.