Kota Kinabalu: Sabah menyasarkan peralihan daripada campuran tenaga yang kini bergantung 80 peratus kepada gas, kepada 80 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, projek utama seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 100MW/400MWh di Lahad Datu yang bakal menjadi terbesar di Asia Tenggara, akan membantu menstabilkan grid dan menyokong integrasi tenaga solar apabila beroperasi pada Julai.
Beliau membentangkan hala tuju peralihan tenaga Sabah pada Persidangan Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur menerusi sesi panel bertajuk Energising Malaysia’s Growth.
Turut serta dalam panel itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan; dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Ir James Ung Sing Kwong.
Nasser berkata Sabah komited ke arah sistem tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan inklusif berpandukan Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Se-RAMP 2040).
Katanya, ECoS yang diwujudkan melalui Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 di bawah portfolio Ketua Menteri, bertanggungjawab mengawal selia sektor elektrik dan gas daratan Sabah, termasuk perancangan tenaga, pelesenan dan pembekalan elektrik luar bandar.
Beliau berkata, kuasa autonomi ini membolehkan Sabah merancang pembangunan tenaga mengikut keperluan tempatan dengan sasaran liputan penuh elektrik di kawasan luar bandar menjelang 2030, pencapaian Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (Saidi) di bawah 100 minit setahun dan mengekalkan karbon neutral pada pertengahan abad.
Untuk memperkukuh keselamatan bekalan, margin simpanan tenaga Sabah dijangka melebihi 25 peratus menjelang suku ketiga 2025 melalui tiga projek pantas iaitu loji diesel sewaan sementara yang sudah beroperasi awal tahun ini, penyempurnaan BESS Lahad Datu dan loji gas sementara 100MW di Kimanis.
Bagi mengekalkan margin rizab baik dalam tempoh lima tahun akan datang, beberapa projek loji jana kuasa baharu turut diluluskan yang melibatkan gabungan loji jana kuasa gas di Kimanis dan tenaga boleh diperbaharui terutamanya solar dan hidro.
Sabah menyasarkan 826MW tenaga solar menjelang 2030 dan lebih 1,500MW daripada sumber hidro yang telah dikenal pasti. Selain itu, Sabah juga meneroka potensi biojisim, geoterma, tenaga angin serta teknologi baharu seperti Penukaran Tenaga Haba Lautan (Otec) dan Reaktor Modular Kecil (SMR) dengan sokongan perundangan yang disediakan.
Sabah juga menyokong integrasi tenaga serantau melalui Grid Kuasa Asean Grid dengan penyambungan grid Sabah-Sarawak yang dijangka siap hujung tahun ini. Projek Southern Link talian penghantaran 275kV turut dirancang bagi menghubungkan pantai timur dan barat Sabah untuk meningkatkan kecekapan grid dan perdagangan rentas sempadan serta membuka potensi tenaga hidro baharu.
Bagaimanapun, isu tarif dan subsidi masih menjadi cabaran. Purata tarif elektrik Sabah kekal pada 34.5 sen/kWh sejak 2014, dengan keperluan subsidi melebihi RM700 juta pada 2025.
ECoS kini merangka model tarif mampan dengan memanfaatkan kerangka Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) untuk mengurangkan kebergantungan kepada subsidi secara berperingkat.
Nasser berkata Sabah tetap komited untuk mencapai sasaran tenaga meskipun berdepan kekangan infrastruktur di peringkat global, dan telah menubuhkan jawatankuasa intervensi untuk mempercepatkan penyambungan elektrik luar bandar serta jawatankuasa penyelarasan pembangunan hidro.
“Dengan dasar yang kukuh, infrastruktur yang mantap dan rangka kerja yang bersedia untuk pelabur, Sabah berada di landasan yang betul untuk mencapai Se-RAMP 2040,” katanya.
“Perjalanan ini bukan sekadar tentang membekalkan lebih banyak tenaga, tetapi memastikan peralihan tenaga yang adil dan inklusif untuk semua,” katanya.