RANAU: Sebuah keluarga di Kampung Poring, Jalan Hot Spring, di sini, kehilangan semua harta benda mereka selepas rumah dan kenderaan milik mereka musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.20 pagi sebelum tujuh anggota yang diketuai Komander Operasi, PBK II Becket Gumat, dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 19 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal serta tiga kenderaan iaitu Proton Exora, Suzuki Jeep dan Perodua Kancil terbakar.
“Pasukan bomba memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran 200 kaki dari tangki air jentera. Malangnya, rumah dan kenderaan terbabit musnah,” katanya, menambah operasi ditamatkan kira-kira jam 3.30 pagi.
Rantey turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama ketika cuaca panas dan berangin yang boleh meningkatkan risiko kebakaran.
Orang ramai yang menghadapi kecemasan kebakaran atau memerlukan bantuan khas boleh menghubungi Balai Bomba Ranau di talian 24 jam 088-878779, 019-2449348 atau terus menghubungi talian kecemasan 999.
Sementara itu, di PENAMPANG, sebuah rumah separa kekal dilaporkan terbakar di Jalan Sindanan kira-kira jam 9.17 pagi hari sama.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Penampang yang diketuai Komander Operasi PBK II KUP Marcus Junior bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Mereka turut dibantu oleh enam anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama dua jentera, sebuah unit EMRS dan sebuah lori tangki air.
“Kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 9.38 pagi dan operasi tamat pada jam 10.20 pagi.
“Rumah tersebut mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus,” kata JBPM Sabah dalam kenyataan.
Seorang lelaki berusia 37 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas dan diberi rawatan di lokasi oleh pasukan EMRS.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.