Kota Kinabalu: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew mencadangkan penubuhan sebuah pusat latihan bagi mendidik orang ramai mengenai budaya masyarakat Bajau di negeri ini, termasuk sejarah dan sambutan Regatta Lepa.
Katanya, pusat seumpama itu penting bagi memastikan kelangsungan budaya suku kaum Bajau terus terpelihara.
“Menerusi pusat latihan ini, bukan sahaja masyarakat Bajau, tetapi orang ramai yang berminat boleh mempelajari lebih lanjut tentang budaya suku kaum Bajau, termasuk kemahiran membina bot lepa, menari Igal-Igal, memasak makanan tradisional dan banyak lagi elemen budaya yang boleh diajar di pusat ini.
“Setakat ini, ilmu dan kemahiran ini hanya diturunkan secara tradisional daripada ibu bapa kepada anak-anak.
“Namun, kita berharap dapat mewujudkan sebuah pusat latihan yang lebih sistematik, di mana orang ramai khususnya anak-anak Bajau sendiri boleh mempelajari kemahiran yang boleh dipraktikkan.
“Pendidikan sebagai asas untuk memahami budaya amat penting. Selepas tamat pembelajaran di pusat ini, mereka juga boleh mengajar orang lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena sambutan Regatta Lepa Ke-30 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pegawai Daerah Semporna Akexander Liew dan Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) Muhammad Sufi Kaim yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian Datuk Josie Lai.
Christina berkata, beliau akan membawa cadangan terbabit ke peringkat kementerian untuk dibincangkan.
“Saya berharap cadangan ini dapat diteliti di peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bersama Pegawai Daerah dan juga Lembaga Kebudayaan.
“Sudah tiba masanya pusat seumpama ini diwujudkan untuk masyarakat Bajau. Ia tidak semestinya berada di satu lokasi sahaja malah boleh diwujudkan di beberapa tempat, walaupun berskala kecil,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew; Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas), Muhammad Sufi Kaim yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian itu, Datuk Josie Lai; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi Senallang, Datuk Rasdeh Sabardin; Ketua Daerah Sulabayan, Abdul Majid Palah; dan PPM Sulabayan, Datuk Hajan Gurimbang.