Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan RM177,190, empat tahun lalu.
Nazirah Santi Liew mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan menipu Chung Szu Yee dengan memperdayakan mangsa supaya memasukkan RM177,190 ke dalam akaun bank miliknya untuk kepentingan peribadi, atas alasan membantu seorang individu bernama Simon yang sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara Januari hingga Disember 2021, di sini.
Pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Inspektor Yusdi Basri yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.
Tidak diwakili peguam, Nazirah memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan dia adalah seorang suri rumah, sudah berkahwin dan mempunyai anak, manakala suaminya bekerja sendiri.
Marilyn menetapkan 5 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM) dan menawarkan jaminan sebanyak RM1,600 dengan dua penjamin.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki didakwa atas pertuduhan memiliki harta curi.
Muhd Shaurey Masdi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebuah mesin kimpal kepunyaan George pada 17 Jun lalu, kira-kira jam 3.20 petang, di tepi jalan Kg Rampayan, Manggatal.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos sebagai tarikh PTCM dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 serta dua penjamin.