Kota Kinabalu: Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) berkata Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
“Kalau boleh, kita akan bertanding semua kerusi yang kita boleh menang. Kalau saya boleh menang 40 kerusi, jadi saya mahu BN tanding 40 kerusi,” katanya.
Mengenai kemungkinan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Bung menegaskan bahawa sebarang perbincangan atau rundingan perlu dilakukan secara terus tanpa melibatkan orang tengah.
“Kalau ada rundingan atau perbincangan dengan GRS, biar kita bincang sendiri sebab saya tidak mahu orang tengah, ini tiada keperluan. Kita hanya perlukan hati dan jiwa yang bersih.”
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag itu turut memaklumkan bahawa BN masih belum mengadakan rundingan secara langsung atau rundingan satu-dengan-satu dengan GRS berhubung kemungkinan kerjasama pilihan raya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menegaskan bahawa BN Sabah kekal dengan pendirian untuk hanya bekerjasama dengan parti yang menunjukkan keikhlasan dan ketelusan sebenar.
“Saya hanya akan cari parti untuk bekerjasama yang ada ketelusan, ada keikhlasan dan bukan parti yang suka menipu.
“Kalau parti suka menipu, macam mana mahu bekerjasama?”
Beliau berkata pendirian BN mengenai keikhlasan adalah sebarang persetujuan yang dicapai mesti dihormati dan ditepati tanpa gagal.
“Keikhlasan bermaksud bila kita sudah setuju, kita tidak akan mungkiri. Kata mesti dikota, janji mesti ditepati. Saya tidak suka pemimpin yang keluarkan air mata buaya,” katanya.
Walaupun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana parti dalam PRN, Bung menegaskan bahawa parti itu mestilah menunjukkan perubahan dan keikhlasan sebenar.
Beliau juga mencadangkan bahawa adalah lebih praktikal untuk mempertimbangkan gabungan selepas PRN bagi menentukan kekuatan sebenar setiap parti, sambil memaklumkan bahawa BN Sabah masih mengekalkan hubungan baik dengan Pakatan Harapan, walaupun beberapa perkara masih perlu dibincangkan dalam sebarang proses rundingan yang mungkin.