Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sebaliknya bersedia untuk menjalin kerjasama strategik dengan gabungan parti lain bagi memastikan kemenangan dan kestabilan politik di negeri ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan terus menggunakan logo dacing, namun menekankan pendekatan terbuka dalam rundingan kerusi dan potensi kerjasama dengan gabungan parti lain.
“Kami akan bertanding di bawah logo dacing, simbol Barisan Nasional, tetapi kami tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan gabungan parti lain. Pendekatan terbaik adalah bersikap terbuka dan tentunya kami lebih suka berkawan daripada bermusuhan,” katanya.
Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengesahkan BN masih belum membuat keputusan muktamad mengenai agihan kerusi di Sabah memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dibubarkan.
“Kami tidak boleh memuktamadkan perkara ini pada peringkat ini. Tetapi apabila tiba masanya, mungkin semua perbincangan dan rundingan dapat dimuktamadkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak adalah kunci kejayaan BN di Sabah.
“Tiada pintu yang harus dibiarkan terbuka luas, dan tiada pintu yang harus ditutup sepenuhnya. Dalam erti kata lain, ruang untuk rundingan dan pertemuan mesti sentiasa tersedia,” katanya.