Kota Kinabalu: Persatuan Karate Sabah (SKA) menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Kejohanan Karate Terbuka Milo ke-24 2025 yang berakhir di Kuala Lumpur pada Ahad.
Walaupun hanya diwakili oleh 10 atlet, mereka berjaya membawa pulang lima pingat emas dan empat pingat gangsa dalam kejohanan terbabit.
Pingat emas disumbangkan oleh Nur Radhiah Fathiah Razimi (kumite junior perempuan 16-17, bawah 48kg), Danish Rayyan Rajis (kata lelaki kadet dan kumite individu lelaki kadet 14-15, bawah 57kg), Ivy Catrinaz Zurizal (kumite individu perempuan 12-13) dan Al Zovainz Zurizal (kumite individu lelaki kadet 14-15, bawah 63kg).
Pingat gangsa pula dimenangi oleh Putri Izz Dini Imtiaz Ali (kumite perempuan 8-9, lebih 25kg Kumpulan 1), Abra Eiiyah Isabelle Mohd Asmawi (kumite perempuan 8-9, lebih 25kg Kumpulan 2), Nur Shaheen Izazi Imtiaz Ali (kata individu junior perempuan 16-17 Kumpulan 1) dan Harris Qusyairi Helmy (kata individu lelaki 12-13).
SKA sebelum ini mendominasi kejohanan itu tahun lalu dengan muncul juara keseluruhan selepas membawa pulang 17 pingat emas, sembilan perak dan 27 gangsa, selain mendahului senarai kutipan pingat bukan rasmi dengan 16 emas, 12 perak dan 12 gangsa.
Setiausaha Agung, Julian Chin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang diketuai jurulatih Frederick Farlin bersama pegawai pasukan, Abd Rahim Mohd Asmawi.
“Walaupun kami tidak dapat mempertahankan kejuaraan dengan kontijen yang lebih kecil, atlet telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dan membawa pulang keputusan yang membanggakan.
“Terima kasih juga kepada semua ibu bapa, jurulatih dan atlet atas kerja keras dan sokongan yang diberikan,” katanya.