LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun maut manakala pemboncengnya cedera dalam pertembungan dengan sebuah Proton Saga di Jalan Dam, di sini, pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt. Jimmy Panyau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 malam ketika Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun sedang memotong kenderaan lain dalam perjalanan dari bandar Lahad Datu menuju ke Palm Height.
“Kereta tersebut memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang sedang menuju ke bandar Lahad Datu dari arah Palm Height.
“Impak menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke tepi jalan,” katanya.
Menurut Jimmy, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng mengalami patah kaki.
Pemandu Proton Saga itu tidak cedera.
Jimmy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi digesa menghubungi Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu atau menunggang, terutamanya ketika hujan dan jalan licin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.