Thu, 11 Jun 2026
Headlines:
Bukti komitmen pulihara, penyelidikan biodiversiti
Published on: Wednesday, June 25, 2025
Published on: Wed, Jun 25, 2025
By: Azmie Lim
Text Size:
Text:
Bukti komitmen pulihara, penyelidikan biodiversiti
SHAHELMEY melawat pameran sempena majlis itu.
LAHAD DATU: Pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Pemeliharaan Lembah Danum merupakan bukti komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah ini sejajar dengan matlamat mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara lestari.

Advertisement
“Justeru, saya ingin menegaskan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan seperti ini.

“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sokongan, khususnya dalam bentuk pembiayaan berterusan melalui Dana Amanah Pemuliharaan Negara (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di sini, Selasa.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji yakin dengan sokongan semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan, kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum dan keseluruhan Lanskap Hutan Hujan DaMaI (Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon) akan terus menjadi khazanah biodiversiti dunia, selain berpotensi menjadi pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan terkemuka negara.

Advertisement
Beliau berkata, penubuhan pusat ini melalui peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah selaras dengan teras Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam aspek pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan sumber asli demi kesejahteraan jangka panjang rakyat dan generasi masa depan,” katanya.

Advertisement
Hajiji turut memuji Yayasan Sabah atas pencapaian cemerlang dalam mengurus dan memelihara Kawasan Pemeliharaan Lembah Danum serta kawasan pemuliharaan lain selama ini.

“Kumpulan Yayasan Sabah bukan sahaja memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pemeliharaan hutan yang bernilai tinggi dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), malah turut mengharumkan nama Sabah di peringkat antarabangsa sebagai model pengurusan kawasan pemuliharaan yang telus, berintegriti dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan NRES yang membolehkan pembinaan stesen penyelidikan ini.

Katanya, stesen penyelidikan yang ditubuhkan di dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah dan turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu terletak di lokasi strategik berhampiran tapak projek Face The Future dari Belanda (INFAPRO) dan Pusat Pengajian Lembah Danum.

“Dengan hutan dara Lembah Danum terletak di seberang sungai saja, kawasan tempat kita berdiri hari ini merupakan zon penampan yang telah dipulihkan melalui Projek INFAPRO di dalam Hutan Simpan Ulu Segama-Malua.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa hutan yang kita lalui sebelum tiba di sini hari ini adalah hutan yang telah dipulihkan hasil usaha berterusan selama bertahun-tahun.

“Inilah bukti bahawa pemulihan hutan boleh dicapai sekiranya kita mempunyai visi dan komitmen, dan Sabah telah membuktikannya,” katanya.

Hajiji berkata, pusat ini juga sesuai untuk mendidik generasi muda melalui program pendidikan alam sekitar seperti yang sedang dijalankan oleh Kelab Pencinta Alam Sabah.

Beliau menyambut baik inisiatif Kelab Pencinta Alam Sabah yang berada di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah untuk mengambil beberapa sekolah di Lahad Datu di bawah programnya.

“Saya percaya langkah ini akan membuka peluang kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai pemuliharaan alam sekitar sejak dari awal,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan program pembangunan berteraskan kelestarian hijau dengan mengutamakan penggunaan dan pengurusan sumber semula jadi secara bertanggungjawab serta memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi untuk generasi akan datang.

“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, penyelidikan berkaitan pengurusan dan pemuliharaan sumber ini amat penting.

“Ia termasuk penyelidikan tentang bagaimana sumber ini dapat dimanfaatkan secara lestari demi kesejahteraan rakyat dan negara, serta kesannya kepada alam sekitar,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here