Kota Kinabalu: Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) melebarkan sayapnya ke seluruh negeri menerusi penubuhan lapan zon baharu.
Lapan zon berkenaan ialah Kota Marudu, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Keningau, Beaufort dan Kota Kinabalu.
Presidennya Chester Pang berkata pewujudan zon-zon ini akan memudahkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti Safva di seluruh Sabah khususnya dari segi peningkatan kemahiran dalam pengendalian peralatan penggambaran dan pengurusan produksi, sebagai persediaan menerima lebih banyak produksi dari luar.
Katanya, usaha ini merupakan susulan daripada lawatan kerja ke Iskandar Malaysia Studios (IMS) di Johor, yang dianjurkan oleh Sabah Creative Economy and Innovation Centre (Scenic) pada Mac.
“Sebagai persediaan untuk menerima produksi dari luar Sabah atau peringkat antarabangsa, Safva akan menghantar kru produksi filem dari Sabah secara berfasa ke IMS bagi menjalani latihan ‘internship’ bersama produksi antarabangsa.
“Ini juga menjadi usaha meningkatkan kemahiran pengendalian produksi sebagai persediaan memenuhi keperluan tenaga kerja mahir di Sabah pada masa hadapan.
“Dengan adanya zon-zon Safva di seluruh Sabah, ia juga akan menjadi platform kepada penggiat seni untuk bergiat lebih aktif serta memperoleh maklumat terkini berkenaan kemudahan yang disediakan agensi kerajaan seperti Finas, MyCreative Ventures, MDEC atau dana yang boleh dipohon seperti daripada Yayasan Hasanah atau Scenic sendiri.
“Safva amat berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah melalui Scenic atas sokongan berterusan mereka terhadap usaha Safva demi pertumbuhan industri tempatan yang lebih mampan dan profesional,” katanya pada sesi penyerahan surat pelantikan kepada dua Penasihat Kehormat Safva yang diadakan baru-baru ini.
Mereka yang dilantik ialah Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Kinabalu, Kaven Lee, serta bekas Presiden Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA), Chua Soon Min.
Menurutnya, pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028 dan kedua-dua mereka akan sentiasa bersedia memberikan nasihat kepada persatuan apabila diperlukan.
Turut hadir ialah Bendahari Agung Safva Valentine Chon, Penolong Bendahari Agung Michelle Pang, Exco Pusat William Chiang, Ahli Biro George Yong serta Pegawai Khas Parlimen Kota Kinabalu Katryn Haw.