Kota Kinabalu: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) bukan untuk bersaing sebaliknya diwujudkan demi menjaga kebajikan rakyat terutamanya di Sabah.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata walaupun ada pihak yang mempertikaikan penubuhan JKDM namun ia sebenarnya berperanan sebagai mata, telinga dan suara penduduk desa untuk kerajaan menyampaikan keperluan rakyat.
Ahmad Zahid memaklumkan Sabah mempunyai keanggotaan JKDM tertinggi di seluruh negara iaitu seramai 2,302 dan menerima peruntukan RM11 juta bagi fasa pertama tahun ini untuk tujuan pembayaran elaun.
“Saya tahu ada yang mempertikaikan penubuhan JKDM kononnya ia berpaksikan politik, bertembung dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Tapi kalau ia membawa manfaat kepada rakyat mengapa tidak?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Dalam pada itu beliau berharap JKDM dapat terus memainkan peranan sebagai pencetus perubahan dan pemudah cara dalam membantu rakyat di peringkat akar umbi.
“Kalau ada rumah yang roboh JKDM yang lakukan, kalau ada ibu tunggal yang tercicir JKDM yang yang bantu memberi bantuan, kalau ada anak muda menganggur JKDM cari peluang latihan untuk pekerjaan.
“Saya juga mahu kita mengambil peduli dengan penuh kesedaran terhadap realiti kadar kemiskinan tegas yang masih di tahap membimbangkan dan perlu dibincangkan,” katanya.