Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke seluruh pelosok negeri ini.
“Usaha ini melengkapi inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu, Khamis.
Ketua Menteri berkata kerjasama ini juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.
Hajiji berkata, di bawah MoU selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan bekerjasama dalam meningkatkan sambungan bekalan elektrik, khususnya di kawasan yang belum diliputi, membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang efisien.
“Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity, sementara projek-projek di bawah kerjasama ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar bagi pihak Sabah Electricity, manakala UPPM Sabah diwakili oleh Pengarahnya Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh.
Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) meneruskan usaha memperkasa kesedaran pengguna melalui penganjuran Program Kesedaran Pengguna Tenaga Elektrik di Kudat, menyasarkan pemimpin masyarakat dari kawasan Mukim Dualog dan Tiga Papan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) ECoS, Ir Ts Ridwan Saham berkata, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam, terutamanya di kawasan luar bandar, mengenai keselamatan elektrik dan penggunaan tenaga yang cekap, selain memperkenalkan peranan ECoS dalam mengawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
Beliau turut menekankan kepentingan menggunakan peralatan elektrik yang diperakui dan mempunyai label keselamatan seperti ECoS-SIRIM, SIRIM-ST atau SIRIM-MUT bagi memastikan keselamatan pengguna.
Program ini adalah kesinambungan siri jelajah yang sebelum ini dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Ranau, Keningau dan Kota Belud.
ECoS berharap maklumat yang disampaikan dapat dikongsikan oleh pemimpin masyarakat kepada penduduk di kampung masing-masing, sekali gus memupuk amalan penggunaan tenaga yang lebih selamat dan berkesan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi, yang menyifatkan program tersebut sebagai peluang penting untuk memperkasa pengetahuan pemimpin masyarakat.
Beliau memuji usaha akar umbi ECoS dan menggalakkan semua peserta memberi komitmen penuh sepanjang program serta menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada komuniti mereka.
Program turut merangkumi sesi berkaitan keselamatan elektrik, kecekapan tenaga, pematuhan terhadap Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang baru dikuatkuasakan, serta pengenalan piawaian prestasi ditetapkan ECoS terhadap Sabah Electricity, iaitu Tahap Perkhidmatan Dijamin (GSL) dan Tahap Perkhidmatan Minimum (MSL).