SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong menggesa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) melaksanakan penguatkuasaan berdasarkan situasi sebenar di negeri ini dan tidak meniru bulat-bulat standard Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum ini.
Vivian, yang juga Setiausaha DAP Sabah, berkata demikian selepas menghadiri taklimat oleh Pengarah Wilayah Pantai Timur ECoS, Ir Ts Norice @ Mohd Nazrie Itom @ Marcus, di pejabat ECoS di Wisma Saban, Khamis.
Beliau sebelum ini menerima beberapa aduan daripada orang awam yang mengendalikan set jana kuasa di premis perniagaan dan kediaman masing-masing, khususnya mengenai kekerapan laporan pemeriksaan yang terlalu tinggi.
“Sebagai contoh, selain pembaharuan lesen set jana kuasa secara tahunan, mana-mana pengendali set jana kuasa dengan kapasiti tidak melebihi 600V perlu mendapatkan juruelektrik bertauliah untuk membuat pemeriksaan dan mengemukakan laporan kepada ECoS setiap bulan.
“Jika kapasiti melebihi 11,000V, pemilik perlu menghantar laporan pemeriksaan sebanyak empat kali sebulan,” katanya.
Menurut Vivian, setiap laporan pemeriksaan dianggarkan menelan kos antara RM400 hingga RM500 bagi setiap set jana kuasa.
Vivian berkata keperluan ini tidak praktikal kerana kebanyakan set jana kuasa di sektor swasta di Sabah hanya digunakan ketika kecemasan, khususnya semasa gangguan bekalan elektrik.
“Menuntut laporan berkala sebanyak itu berisiko menjadi sekadar langkah atas kertas yang akhirnya menambah beban kos kepada rakyat,” katanya.
Vivian mengakui pentingnya memastikan keselamatan operasi set jana kuasa, namun mencadangkan agar ECoS lebih kerap menjalankan pemeriksaan mengejut dan mengenakan denda berat kepada pengendali yang gagal mematuhi syarat keselamatan, berbanding mewajibkan laporan berkala secara berlebihan.
Beliau turut mengingatkan bahawa ECoS adalah agensi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri sejak 3 Januari 2024.
“Sebagai agensi negeri, ECoS seharusnya berfungsi berdasarkan keperluan dan realiti di Sabah, bukan sekadar menyalin bulat-bulat peraturan daripada ST.
“Lagipun, bukankah tujuan ECoS ditubuhkan untuk membolehkan Sabah membuat keputusan yang terbaik untuk rakyatnya sendiri?” tanya Vivian.