SANDAKAN: Dalam usaha memperkukuh pemulihan dan integrasi semula bekas penghuni penjara ke dalam masyarakat, Jabatan Penjara Malaysia kini giat melaksanakan program pemasyarakatan bersama prospek.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Pemasyarakatan) TKJP Ahmad Faudzi Awang, berkata walaupun stigma terhadap bekas banduan masih menebal dalam kalangan masyarakat, pelbagai pendekatan telah diambil untuk mengubah persepsi ini.
“Seperti mana kita sedia maklum, masyarakat pada awalnya memang menolak penerimaan kepada bekas-bekas banduan. Sebab itu kita ubah pendekatan dengan menamakan mereka sebagai ‘prospek’ satu kumpulan yang ada potensi dan boleh dibimbing,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, perubahan imej luaran sahaja tidak mencukupi, malah prospek sendiri perlu menunjukkan perubahan dalaman, terutamanya dari segi sikap dan disiplin.
“Kalau mereka nak masyarakat terima, prospek itu sendiri perlu berubah dahulu. Kita tekankan kepada mereka bahawa hanya dengan keyakinan diri dan sikap positif, masyarakat akan mula menerima kehadiran mereka,” katanya.
Ahmad Faudzi mendedahkan bahawa lebih 600 pemain industri telah tampil memberi peluang pekerjaan kepada prospek, satu petanda positif terhadap keberkesanan program ini.
“Penglibatan industri sangat penting. Ini bukan sahaja membuka jalan rezeki untuk prospek, malah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing,” ujarnya.
Dengan kebolehan yang dibentuk melalui program pemulihan dan latihan kemahiran dalam penjara, prospek diyakini mampu bersaing secara sihat dalam pasaran kerja terbuka.
Ini, katanya, bukan sahaja memperkukuh jaringan keselamatan sosial tetapi juga menyumbang secara langsung kepada produktiviti negara.
“Sudah sampai masanya kita melihat prospek bukan sebagai beban, tetapi sebagai tenaga kerja alternatif yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi,” tegas beliau.
Melalui sokongan masyarakat dan kerjasama sektor industri, prospek bukan sahaja memberi peluang kedua kepada individu yang pernah tersasar, tetapi juga menjadi simbol harapan bagi sebuah sistem pemulihan yang lebih inklusif dan manusiawi.
Ahmad Faudzi ditemui media selepas merasmikan program Festival Kesenian Islam Peringkat Penghuni Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025, di Dewan Taman Wira Penjara Sandakan pada Rabu.
Pengarah Penjara Negeri Sabah dan WP Labuan, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Tey Hock Soon.
Program tiga hari itu menyaksikan penglibatan seramai 120 prospek, terdiri daripada 88 lelaki dan 32 wanita dari lapan institusi penjara seluruh Sabah dan WP Labuan dalam pelbagai pertandingan berasaskan kerohanian.
Teh berkata program itu merupakan satu inisiatif tahunan di bawah seliaan Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia, bertujuan membentuk akhlak dan sahsiah penghuni menerusi pendekatan kerohanian yang holistik.
Sementara itu, Penjara Pusat Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kategori Lelaki, manakala Penjara Wanita Kota Kinabalu merangkul Johan Keseluruhan Kategori Perempuan, menandakan pencapaian cemerlang kedua-dua institusi dalam festival berkenaan.