Kota Kinabalu: Persekutuan Industri Sabah (FSI) menyuarakan kebimbangan terhadap peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini, sambil memberi amaran bahawa langkah itu akan terus membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah serta meningkatkan tekanan inflasi di negeri ini.
Bendahari FSI, Sylvester Chua Yong Pheng berkata, perniagaan di Sabah sudah pun beroperasi dalam persekitaran kos tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia, berikutan kos logistik, operasi dan infrastruktur yang lebih mahal.
Pelaksanaan SST tambahan pada waktu ini dijangka akan meningkatkan lagi kos perniagaan dan akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
“Kami menyambut baik pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini yang mengecualikan epal dan oren daripada cukai ini, yang merupakan langkah positif untuk pengguna. Bagaimanapun, perniagaan di Sabah memerlukan lebih banyak masa untuk menambah baik struktur kos operasi mereka sebelum langkah percukaian tambahan diperkenalkan,” kata Chua dalam satu kenyataan, Sabtu.
Beliau menambah, keadaan menjadi lebih mencabar dengan pelaksanaan sumbangan dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing yang dijadualkan bermula Oktober tahun ini.
Walaupun inisiatif itu dilihat baik untuk kebajikan pekerja, katanya, ia akan memberi kesan segera terhadap pengurusan kos dan aliran tunai sektor pembuatan.
“Isu utama ialah pada aspek masa pelaksanaan. Cukai Jualan perlu dibayar sebaik sahaja invois dikeluarkan, dan Oktober serta November adalah tempoh kritikal aliran tunai bagi pengilang.
“Melaksanakan SST tanpa penangguhan, serentak dengan kewajipan baharu KWSP, akan memberikan tekanan kewangan yang serius kepada pengilang di Sabah. Ia inisiatif yang baik tetapi masanya tidak sesuai,” kata Chua.
Sehubungan itu, FSI menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan peluasan skop SST kepada 1 Januari 2026 bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dan menguruskan operasi mereka dengan lebih mampan.
Selain itu, FSI turut merayu agar diberikan pengecualian Cukai Jualan bagi pengimportan bahan mentah penting seperti resin plastik untuk mengurangkan kos pembuatan serta memudahkan keperluan pematuhan tambahan bagi PKS di Sabah.
“Kami benar-benar berharap kerajaan mengambil kira cabaran ekonomi unik Sabah dan melaksanakan langkah peralihan yang adil untuk membantu industri tempatan kekal berdaya saing, sementara menyesuaikan diri dengan dasar percukaian dan buruh yang baharu,” kata Chua.