Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus mempergiat usaha memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam akses pendidikan lebih baik, khususnya di kawasan pedalaman.
Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan Sabah sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar dan reformasi pendidikan negara.
“Kita komited untuk menangani isu akses pendidikan dan memastikan tiada pelajar tercicir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Katanya, KPM turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk memperluas akses pendidikan di kawasan pedalaman menerusi program khas di negeri ini.
“Program dikenali sebagai ProKhas di Kampung Serudong Laut, Tawau dilaksana menerusi program Jiwa Murni oleh Mindef.
“Kita bekerjasama dengan Mindef untuk membina sekolah di Kampung Serudong Laut. Ia merupakan komitmen bersama untuk membangunkan kemudahan pendidikan di kawasan ini, dengan penglibatan komuniti secara menyeluruh,” jelasnya.
Menurut Fadhlina, hasil tinjauan awal mendapati kawasan tersebut mempunyai potensi baik bagi pembangunan infrastruktur pendidikan.
“Kita sudah memulakan program khas di situ. Kelas pembacaan sedang dijalankan oleh guru-guru secara bergilir yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
“Semasa lawatan kami, kira-kira 20 hingga 30 murid telah mengikuti kelas tersebut. Kita kini sedang mengumpul data jumlah keseluruhan mereka untuk memastikan mereka hadir secara konsisten dan angka itu dijangka terus meningkat dari masa ke masa,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Sabah dalam dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini.
“Lebih 146 pelajar di Sabah memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 dan ini antara bukti nyata kejayaan reformasi pendidikan yang kita laksanakan.
“Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada KPM untuk terus memperkukuh pelaksanaan program pendidikan, termasuk memperkasa Tingkatan Enam di negeri ini,” katanya.