LEBIH banyak bengkel lakonan perlu diadakan untuk penggiat seni di negeri ini, khususnya di Sandakan, bagi membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan ilmu, kata Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.
Bercakap pada perasmian Bengkel Seni Asas Lakonan anjuran Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) baru-baru ini, Vivian berkata program seumpama itu dapat membantu penggiat seni tempatan menghasilkan karya yang lebih berkualiti.
“Pelaksanaan program ini selaras dengan pembangunan kandungan dan aplikasi dalam media sosial, dan seterusnya menjadi sumber pendapatan tambahan.
“Gabungan tenaga muda dan pengalaman ini amat saya alu-alukan kerana ia mencerminkan satu ekosistem seni yang sihat dan progresif.
“Seni bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan jiwa masyarakat. Melalui lakonan, kita bukan sahaja menyampaikan cerita, tetapi juga menyuarakan harapan, perjuangan dan nilai-nilai murni yang membentuk masyarakat kita,” katanya.

Bengkel anjuran Safva Zon Sandakan itu, yang diadakan di Politeknik Sandakan, disertai oleh 23 peserta dari Sandakan serta daerah berhampiran seperti Telupid dan Kinabatangan.
Vivian menambah, beliau percaya bengkel itu membuka ruang pembelajaran yang amat bermakna, bukan sahaja dari segi teknik lakonan, tetapi juga dari sudut keyakinan diri, ekspresi emosi, komunikasi dan kerjasama.
“Kepada peserta dari kolej, jadikan ini sebagai batu loncatan untuk lebih berani mengejar impian dalam dunia seni. Kepada penggiat seni tempatan, teruskan menjadi tunjang kekuatan komuniti seni di Sandakan. Kalian adalah inspirasi kepada generasi.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus menyokong program pembangunan seni seperti ini, yang bukan sahaja memperkasa kreativiti, tetapi turut memupuk perpaduan dalam komuniti majmuk kita.
“Semoga lebih banyak program seperti ini dapat diteruskan dan semoga usaha murni ini mendapat perhatian serta sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Safva Chester Pang berkata penganjuran bengkel asas seni lakonan merupakan permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak bengkel dan kursus latihan peningkatan kemahiran bagi mengimbangi pembangunan kreatif, khususnya di Sabah yang sebelum ini lebih tertumpu di Kota Kinabalu.
Sebagai permulaan, Zon Sandakan yang diketuai oleh Eizlan Alex memulakan inisiatif itu dan akan diikuti oleh tujuh zon Safva yang lain iaitu Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu, Tawau, Keningau, Beaufort dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata siri Jelajah Safva ke seluruh Sabah yang sedang berlangsung merupakan salah satu langkah untuk menemui sendiri penggiat seni setempat bagi membincangkan aktiviti yang bersesuaian dengan lokaliti mereka.
Turut hadir pada majlis itu adalah Penasihat Kehormat Safva Chua Soon Min, Setiausaha Agung Jade Morris, Ketua Penerangan Sahara Usli, AJK Eksekutif Safva Gregory Giting, William Chiang dan Eizlan Alex.