Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Datuk Dr Yusof Yacob dan seorang ahli perniagaan dari Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas pertuduhan menerima dan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Andi, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, serta Adun Sindumin Dr Yusof, 69, dan ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga.
Andi yang juga Adun Tanjung Batu didakwa menerima suapan RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu dalam proses permohonan lesen cari gali mineral bagi syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd di Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam, 12 Mei 2023 di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan, dekat sini.

Sementara itu, Dr Yusof didakwa menerima suapan RM200,000 juga daripada Tei, yang turut dikenali sebagai Albert Tei, sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan lesen cari gali bagi Nusa Kini Sdn Bhd untuk meneroka mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 2 petang, 6 Mac 2023 di Rooftop Bar & Grill @ Hilton, di sini.
Difahamkan bahawa syarikat Nusa Kini Sdn Bhd dan Sinaran Hayat Sdn Bhd yang berpangkalan di Sabah adalah milik rakan kongsi perniagaan Tei.
Andi dan Dr Yusof masing-masing didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tei berdepan dua pertuduhan memberi suapan kepada Andi dan Dr Yusof bagi tujuan sama di tempat dan masa yang dinyatakan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan Andi dan Dr Yusof masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan deposit RM10,000 dan seorang penjamin tempatan, manakala Tei dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan deposit RM15,000 dan seorang penjamin tempatan.
Sementara menunggu kes selesai, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu ketiga-tiga tertuduh diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali dalam dua bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Nurul Izzati Sapifee, TPR Rustam Sanip dan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh mewakili pihak pendakwaan.
Peguam Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Datin Jaharah Patimbangi mewakili Andi dan Dr Yusof, manakala Tei diwakili Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani.
Turut hadir di mahkamah memberi sokongan ialah ahli keluarga Andi dan Dr Yusof serta penyokong mereka, termasuk Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Martin Idang.