Kota Kinabalu: Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Mazlan@Joehari Manan, membuat laporan polis terhadap Albert Tei berhubung kenyataan fitnah dan berunsur hasutan yang didakwa dibuat oleh Albert ketika sidang media di luar Mahkamah Tinggi di sini, Isnin.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Selasa.
“Albert membuat kenyataan yang mengandungi unsur jahat, palsu dan menghina terhadap Ketua Menteri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara semasa sidang media tersebut,” kata Mazlan dalam laporan itu.
“Dia secara terbuka membuat tuduhan dan memberi amaran kepada orang ramai bahawa sekiranya sesuatu berlaku terhadap dirinya, termasuk diculik, dibunuh atau hilang, Ketua Menteri dan beberapa individu lain perlu dipertanggungjawabkan.
“Ini adalah tuduhan jenayah yang sangat serius dan berunsur hasutan terhadap Ketua Menteri,” katanya.
Mazlan berkata, memandangkan kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan Albert dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Albert sepatutnya tidak membuat kenyataan kepada media yang boleh mencipta persepsi negatif dan mengandungi unsur fitnah serta kepalsuan yang boleh menjejaskan pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri, SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
“Tindakan Albert juga boleh dianggap sebagai menghina mahkamah (subjudis) kerana kes ini masih dalam prosiding mahkamah,” katanya.
Beliau berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang sewajarnya terhadap Albert.