Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan penjawat awam agar terus mengamalkan profesionalisme, berkecuali dan berintegriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun pilihan raya ini.
“Kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri tahun ini. Sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam mesti memastikan semua urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan berjalan lancar seperti biasa..
“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini mencerminkan komitmen mereka dalam menyokong sistem demokrasi serta kestabilan pentadbiran negeri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di Menara Kinabalu, Rabu.
Hajiji turut menggesa semua ketua jabatan agar menunjukkan komitmen yang kukuh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih cekap dan tepat, selain memantau pelaksanaan projek dengan lebih berkesan supaya semua projek yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Perkara ini penting bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan, pembaziran sumber serta menjejaskan reputasi dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran Kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa bertindak secara responsif, proaktif serta mengamalkan tadbir urus yang baik dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan amanah, telus dan penuh rasa tanggungjawab. Elakkan sebarang konflik kepentingan agar matlamat serta objektif Kerajaan Negeri dapat dicapai dengan jayanya.
“Kepentingan kerajaan sentiasa lebih utama berbanding kepentingan peribadi,” tegasnya.
Hajiji turut menasihatkan penjawat awam supaya terus mendukung integriti diri dan menjadikannya sebagai nilai teras dalam peribadi mereka.
“Tanpa integriti diri yang tinggi, kesannya kepada imej perkhidmatan awam dan institusi Kerajaan Negeri secara keseluruhannya akan menjadi sangat buruk,” katanya.
Sementara itu, Hajiji memaklumkan sebanyak empat rang undang-undang akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan berlangsung selama dua hari, bermula Isnin depan.
Dua rang undang-undang akan dibentangkan oleh Jabatan Ketua Menteri iaitu Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.
Dua lagi rang undang-undang akan dibentangkan oleh Kementerian Kewangan iaitu Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025.