Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang merempuh pintu pagar utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika melarikan diri daripada polis bantuan dan melanggar seorang pelajar penunggang motosikal, dihukum penjara 10 bulan dan didenda RM6,000 atau dipenjara dua bulan lagi oleh Mahkamah Trafik kerana memandu secara melulu.
Mohd Faddlie Shah Roslee, yang bekerja sendiri, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan kepada penunggang motosikal, Muhammad Afdhal Firdaus Mohd Arif, pada jam 10.15 pagi, 4 Disember 2023 di pintu masuk utama UMS, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, pengendorsan lesen memandu oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan.
Majistret memerintahkan Faddlie menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitan pada Rabu.
Faddlie juga dibatalkan kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Mohammad Khairul Nizam Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Axia yang dipandu Faddlie dan sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggang seorang pelajar lelaki UMS.
Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila Faddlie cuba melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh polis bantuan UMS.
Faddlie enggan memberikan kerjasama dan memecut laju sebelum merempuh pintu keluar universiti sehingga menyebabkan kerosakan.
“Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal dilanggar dari belakang oleh kenderaan yang dipandu Faddlie. Impak pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan,” kata Nizam.
Nizam berkata, Faddlie tidak berhenti selepas kemalangan dan terus melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama.
Pelajar yang cedera itu kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan UMS untuk menerima rawatan.
Semasa mitigasi, Faddlie yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia merancang untuk berkahwin pada Oktober.
Nizam, bagaimanapun, menggesa mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal, memandangkan tindakan Faddlie telah membahayakan nyawa orang lain.
“Dia melarikan diri daripada pihak berkuasa, merempuh harta universiti dan melanggar pelajar hingga menyebabkan kecederaan. Hukuman tegas wajar dikenakan sebagai pengajaran dan bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 23 tahun didenda RM1,200 atau penjara sebulan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di tempat awam.
Valentine James mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali melakukan kesalahan itu pada 2 Mei, tahun ini, jam 4 petang, di kaki lima sebuah restoran di pekan Donggongon, Penampang.
Mahkamah diberitahu oleh pendakwaan bahawa Valentine ditahan oleh sepasukan polis yang mendapati dia bertindak sebagai ejen perjudian dalam talian tanpa lesen.
Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM40.
Siasatan mendapati telefon yang dirampas itu digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Peguam Carmen Khoo yang mewakili Valentine merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah insaf, tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menjaga ibu bapanya.
Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal.
Wan Farrah memerintahkan wang tunai yang dirampas dilucut hak sebagai hasil kerajaan.