TAWAU: Seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan didakwa cuba meminta rasuah berjumlah RM66,000 berkaitan permohonan tanah baharu di bawah Skim Pekebun Kecil Madai Baturong (SPPKMB) di Kunak, sembilan tahun lalu.
Smith A. Lewas @ Simon, 56, yang bertugas sebagai Penolong Juruukur dan Lusiwoi Kisa, 62, bekas Pembantu Tadbir, mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, pada Rabu.
Simon, dalam kapasitinya sebagai Juruteknik di pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kunak, didakwa cuba meminta rasuah berjumlah RM54,000 secara tunai daripada Goefle Joseph, 39, sebagai dorongan untuk memproses permohonan tanah baharu selepas kerja ukur lot dilakukan terhadap pemohon terbabit dan 26 individu lain di bawah skim SPPKMB Kunak.
Kesalahan itu didakwa berlaku jam 8 malam, pada hujung Mei 2016 di sebuah studio kepunyaan Thomas Salong, 45, di Kunak.
Sementara itu, Lusiwoi didakwa cuba meminta rasuah sebanyak RM12,000 secara tunai daripada Cornilius Jomol @ Terence, 71, sebagai dorongan untuk menjalankan kerja ukur lot tanah bagi memasukkan lot-lot di bawah kumpulan Cornilius yang terdiri daripada 16 peserta, walaupun pada waktu itu, tiada lot yang tersedia untuk diukur mahu pun permohonan tanah di bawah SPPKMB Kunak yang dibuka.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Lusiwoi pada Jun 2016 di kawasan bandar Lahad Datu ketika dia bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Kota Kinabalu.
Mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 deposit RM3,000 serta seorang penjamin tempatan bagi Simon manakala Lusiwoi dibenarkan ikat jamin RM6,000 deposit RM2,000 serta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang menghubungi saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 September tahun ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee yang mengetuai pendakwaan, mencadangkan jaminan masing-masing sebanyak RM15,000 dan RM8,000 dengan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Vivian Thien memohon jaminan ditetapkan pada RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan, dengan alasan anak guamnya yang kini bertugas di Pejabat Tanah Telupid, perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan memberikan kerjasama penuh semasa siasatan.
Sementara itu, peguam Jhasarry P. Kang memohon jaminan di bawah RM5,000 dengan alasan anak guamnya sudah bersara, tidak bekerja dan sedang menjalani rawatan bagi tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes serta masalah buah pinggang.