Kota Kinabalu: Seorang bekas penolong jurutera awam, yang merayu terhadap hukuman penjara 12 bulan dan denda RM20,000 atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dalam menganugerahkan projek penyelenggaraan jalan kepada syarikat milik adiknya, akan mengetahui keputusan rayuannya pada 20 Ogos.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid pada Khamis menetapkan tarikh itu untuk perayu Herwan Malik selepas mendengar rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan hujahan pihak pendakwaan selaku responden.
Herwan, 40, yang mencabar kedua-dua sabitan dan hukumannya, merayu agar keputusan yang dibuat oleh hakim perbicaraan diketepikan.
Dia pada 29 Ogos 2023 disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli jawatankuasa dalam membuat keputusan berkaitan sebutharga Pejabat Daerah Kota Marudu bagi memilih Pemborong Sri Tassha, syarikat milik adiknya Rozanah Malik, 32, untuk melaksanakan projek penyelenggaraan jalan di sepanjang Jalan Pertanian, Kg Sungai Laut, Kota Marudu.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 28 Februari 2013 di Pejabat Daerah Kota Marudu.
Bagi pertuduhan kedua, Herwan dipenjara 12 bulan lagi serta denda RM10,000 atau penjara tiga bulan kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk menganugerahkan projek penyelenggaraan jalan di Kg Pendawar, Kota Marudu, kepada syarikat sama pada jam 3 petang, 30 April 2014 di lokasi yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Herwan diperintah menjalani hukuman penjara itu secara serentak tetapi dia berjaya memperoleh perintah penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili perayu, telah mengemukakan 10 alasan rayuan, yang secara ringkasnya menyatakan bahawa hakim perbicaraan gagal menilai dengan sewajarnya semua keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan dan tidak menilai pembelaan secara adil serta saksama.
Beliau turut berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat kesimpulan bahawa pembelaan anak guamnya hanyalah satu penafian kosong, rekaan semata-mata dan dibuat kemudian.
Beliau juga mendakwa hakim gagal membuat inferens buruk terhadap pihak pendakwaan di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950, serta terkhilaf apabila memutuskan bahawa perayu gagal menolak anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah menggesa mahkamah mengekalkan dapatan hakim Mahkamah Sesyen dan menolak rayuan terbabit.
Beliau berhujah bahawa keterangan yang dikemukakan telah diuji kesahihannya, dan kredibiliti semua saksi responden kekal utuh, manakala keterangan perayu pula didapati bercanggah dan hanya berupa penafian semata-mata.
Beliau menambah responden telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah dan tiada sebab untuk mahkamah campur tangan terhadap dapatan hakim Mahkamah Sesyen.