Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 32 tahun didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan sejumlah RM587,004.
Rabiahtul Adawiah Pastor mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama, Rabiahtul, sebagai akauntan dan eksekutif kewangan di Syarikat Yaza Communications Sdn Bhd, yang mengamanahkannya dengan wang berjumlah RM273,802.64 milik syarikat, didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun bank Tropika Ujana Enterprise.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 6 Jan 2022 hingga 30 Okt 2023 di premis Syarikat Yaza Communications Sdn Bhd di Pusat Dagangan Putatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang berjumlah RM263,758.50 ke dalam akaun bank Mah Group di lokasi sama antara 14 Jan 2022 hingga 27 Okt 2023.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memindahkan wang berjumlah RM49,330 ke dalam akaun bank kepunyaan Kasturi Indah Enterprise di tempat yang sama antara 30 Nov 2022 hingga 27 Okt 2023.
Kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos tahun ini sebagai tarikh pengurusan kes dan Rabiahtul dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood tampil untuk pendakwaan manakala Rabiahtul diwakili peguam Sharata Lincon.