Kota Kinabalu: 10 atlet karate dari negeri itu kini sedang mengambil bahagian dalam program Akademi Karate Malaysia Siri 1 yang bermula semalam (Jumaat) di Kompleks MSN Saujana Asahan di Melaka.
Program seminggu itu dianjurkan Bahagian Pembangunan Bakat, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi cawangan bakat dengan kerjasama Persatuan Karate Malaysia (Makaf).
Matlamatnya adalah untuk mengumpulkan atlet terbaik setiap negeri di negara ini dan seterusnya memberi peluang kepada mereka dan jurulatih menghadiri sesi latihan intensif yang akan dikendalikan oleh jurulatih kebangsaan.
Ia juga menjadi medium kepada jurulatih negara mengenal pasti bakat yang boleh diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Setiap negeri dibenarkan mencalonkan enam peserta (tiga lelaki, tiga perempuan) berumur 13 hingga 16 tahun untuk acara kumite dan empat (dua lelaki, dua perempuan) berumur 13 hingga 15 tahun untuk acara kata dengan dua jurulatih (satu bagi setiap acara) di bawah program bakat Negeri.
Atlet yang dipilih oleh Persatuan Karate Sabah (SKA) ialah Chrisbella Wong Wei San, Danish Rayyan Rajis, Mohd Afiq Hazriq Sedry, Destiny Denise Pasqual dalam kata dan Amirah Syahindah Azkan, Lim Leyca, Arthur Braxton Eusebius, Evanno Wee Elwi, Al-Zovainz Zurizal, Leonard Vresley Ajen dalam kumite, manakala dua jurulatih ialah Clevelence Carlos dan Roney Boy.