BEAUFORT: Program Justice on Wheels (JoW) menjadi bukti komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan akses kepada keadilan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang tinggal di pedalaman.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, berkata program JoW yang dilaksanakan oleh Jabatan Bantuan Guaman (JBG) itu membolehkan rakyat mendapatkan khidmat nasihat guaman secara mudah dan terus tanpa perlu hadir ke pejabat JBG.
“Program ini penting bagi memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada proses perundangan yang adil hanya kerana faktor jarak atau kekurangan maklumat mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika merasmikan program Jelajah JoW di Dataran Bagandang, di sini, Selasa.
Program JoW merupakan inisiatif klinik guaman bergerak yang menyediakan perkhidmatan bantuan guaman terus kepada masyarakat, sejajar dengan visi JBG untuk menjadi peneraju dalam penyediaan bantuan guaman negara serta memastikan keadilan dapat dicapai oleh semua.
Isnin menjelaskan bahawa van-van JoW diperoleh hasil peruntukan Belanjawan 2023 di bawah Inisiatif Belanjawan B11 yang diluluskan untuk memperkukuhkan usaha membawa perkhidmatan guaman ke kawasan luar bandar. Sehingga kini, tiga van JoW telah dilancarkan, masing-masing untuk Sabah, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Di Sabah, pelaksanaan program JoW menjelajah ke beberapa daerah termasuk Pitas, Tongod, Papar, Sipitang dan Paitan pada 2024. Untuk tahun ini, Jelajah JoW Borneo Utara telah bermula di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Beaufort dan seterusnya akan ke Keningau.
Sepanjang program ini, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman secara percuma dengan prosedur mudah dan rahsia maklumat pelanggan sentiasa dijaga. Borang khidmat nasihat perlu diisi sebelum sesi bersama pegawai guaman yang bertugas dalam van khas JoW.
Program JoW turut memanfaatkan teknologi dengan menyediakan kod QR pada van bagi memudahkan orang ramai mengakses maklumat perkhidmatan JBG dan capaian terus ke platform dalam talian, Gerbang iGuaman.
Isnin berharap masyarakat di Beaufort dan daerah lain akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan program ini untuk mendapatkan keadilan.