Kota Kinabalu: Pemain boling Sabah mendominasi Kejohanan Boling Tenpin Sirkit Remaja SportExcel-NSC-Milo-MTBC 2025 (Pusingan Sarawak) yang berlangsung di Megalanes East, Miri Megamall di Sarawak.
Mereka membawa pulang empat emas dan dua gangsa dalam pertandingan tiga hari yang berakhir Khamis lalu.
Pemenang pingat emas ialah Muhammad Hafiz Saiful (lelaki bawah 12) yang menewaskan Jasmy Zhariff Jasmawardhy 202-131 dalam perlawanan akhir, Muhammad Faris Faiq Afillah (graded lelaki) selepas menewaskan Alvin Voon Dong Cheng 224-157, Miasara Adawiyah Saiful (graded perempuan) dengan kemenangan 159-156 ke atas Arwynn Galleina Anak Arthur Ray dan Awang Syamsul Khusairi Awang Samsudin (terbuka lelaki) yang menewaskan Mohd Nizam 9 Hareez 159-156.
Pingat gangsa disumbangkan oleh Dayang Hasya Izz Zayani (perempuan bawah 12) dan Lynette Ho Kang Ling (graded perempuan).
Presiden Persatuan Boling Tenpin Sabah (STBA) Rozzainny Sham Talip gembira dengan kejayaan pasukan itu dan mengucapkan tahniah kepada para pemenang.
“Syabas kerana memenangi empat emas dan dua gangsa untuk negeri ini. Tahniah kepada pemenang pingat dan juga kepada semua atlet yang berjaya mara ke peringkat lapan terbaik.
“Saya berharap mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pusingan di Sabah kelak,” katanya.
Rozzainny turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pegawai pasukan, jurulatih dan ibu bapa atas kerja keras dan pengorbanan mereka untuk memastikan kejayaan pasukan.