Tuaran: SK Rugading muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran yang berlangsung di Padang Sabah Royal Turf Club, Tambalang, pada Jumaat.
Dalam perlawanan peringkat akhir yang sengit, SK Rugading menewaskan SK Berungis dengan keputusan 2-1, manakala tempat ketiga dikongsi bersama oleh SK Lok Yuk dan SK St John.
Kejohanan dua hari tersebut telah menghimpunkan 26 pasukan dari sekolah rendah sekitar daerah Tuaran.
Perasmian penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Rijahan Aliaprah, yang juga merangkap Pegawai Perhubungan Jetama Sdn Bhd.
Dalam ucapan penutupan, Rijahan menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa yang telah memberikan sokongan padu kepada anak masing-masing.
“Tanpa keizinan dan sokongan mereka, kejohanan ini tidak akan dapat direalisasikan dengan jayanya”, katanya.
Katanya lagi, sokongan ini penting bagi memastikan usaha pihak sekolah dan MSSD dalam pencarian bakat muda bola sepak dapat diteruskan secara berterusan.
Dalam kejohanan sama, Mohamad Fahrin Ashraf Abdullah dari SK Rugading turut diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.