Kota Kinabalu: Pasukan Kadayan Sarawak muncul juara dalam Kejohanan Golf Kadayan Borneo Ke-8 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf and Country Club pada Ahad.
Pasukan yang diketuai oleh Arni Yahya itu berjaya merangkul trofi cabaran, manakala tempat kedua dimenangi pasukan Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Safar Untong, diikuti pasukan juara bertahan Labuan yang diketuai oleh Rozman Isli di tempat ketiga dan Brunei yang diketuai oleh Dato Zaimi Talip di tempat keempat.
Seramai 144 pemain golf mengambil bahagian dalam acara tahunan anjuran Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) itu.
Presidennya Datuk Dr Yusof Yacob yang menyampaikan hadiah berkata kejohanan terbabit menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan antara komuniti Kadayan di rantau ini.
Beliau menambah Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan tahun depan dan mereka menyasarkan penyertaan pasukan Kadayan dari Kalimantan, Indonesia.