Tuaran: Seorang guru wanita maut, dipercayai dibunuh oleh abang kandungnya yang dilaporkan mengalami masalah mental, di sebuah rumah tidak bernombor di Tenghilan di sini, pada Sabtu.
Mangsa, dikenal pasti sebagai Celesty Christy Celestina Sili (gambar), 41, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di belakang rumah keluarganya.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag Maidin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran menahan suspek pada hari kejadian.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.
“Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui cedera pada bahagian leher, kepala dan kedua-dua mata akibat senjata tajam,” katanya.
Menurutnya, suspek juga dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di sebuah fasiliti kesihatan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan manakala bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Unit Forensik hospital Queen Elizabeth I.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan, jika disabit kesalahan,” ujarnya.
Noraidin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi polis Tuaran pada talian 088-794313.