JAWATANKUASA Tindakan Industri Kreatif Sabah (Jatiks) menggesa perhatian segera Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berhubung polemik yang tercetus susulan pelancaran platform penstriman digital Borneo.TV.
Jawatankuasa yang terdiri daripada Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) bersama beberapa perwakilan industri kreatif tempatan itu berkata perkara berkenaan perlu bagi memastikan kelangsungan pembangunan ekosistem industri kreatif negeri.
Jurucakapnya Andrew Ambrose yang lebih dikenali sebagai penyanyi rap Atama berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan menyuarakan isu-isu yang dibangkitkan oleh pemain industri di negeri ini berhubung pelancaran mengejut Borneo.TV.
Meskipun mereka menyambut baik inisiatif Borneo.TV dalam memperkasa kandungan Sabah di peringkat global Atama berkata Jatiks melihat pelaksanaannya yang tidak melalui proses libat urus industri telah menimbulkan pelbagai kebimbangan yang berasas dari segi struktur operasi, kejelasan peranan penggiat tempatan dan sebagainya.
“Sebagai persatuan yang mewakili penggiat industri kreatif Sabah kami berpandangan bahawa perkara ini telah menampakkan satu jurang struktur dan dasar yang membimbangkan terhadap kelangsungan pembangunan ekosistem kreatif negeri.
“Ketika ini terdapat lebih kurang 20,000 penggiat seni kreatif Sabah terdiri daripada alumni yang menuntut dalam bidang kemahiran kreatif serta ramai lagi penggiat berpengalaman luas dalam industri ini.
“Namun 90 peratus daripada mereka terpaksa melakukan kerja tambahan di luar bidang ini demi meneruskan kelangsungan hidup. Ini termasuk penggiat teater, pemuzik jalanan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.
“Justeru itu kami berharap ketua menteri dapat mempertimbangkan langkah jangka panjang demi pembangunan yang benar-benar berasaskan Sabah bukan sekadar menggunakan nama Sabah tetapi juga demi memberikan keadilan kepada penggiat seni di negeri ini,” katanya.
Menurutnya Jatiks tidak menolak pembangunan Borneo.TV bagaimanapun menuntut agar ia dilaksanakan secara adil, telus dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah sendiri.
“Platform seperti Borneo.TV hanya akan berjaya jika ia berpaksikan pada ekosistem yang menyokongnya bukan sekadar gimik, logo dan slogan semata-mata sebaliknya berpegang kepada prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’,” katanya dalam surat tuntutan Jatiks mengenai kemajuan industri kreatif Sabah pada Isnin.
Beberapa perwakilan Jatiks pada Isnin mengemukakan surat berkenaan kepada Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Datuk Mazlan Joe Manan di lobi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk diserahkan kepada ketua menteri.
Selain Atama Jatiks turut diwakili Presiden Safva Chester Pang serta wakil-wakil penggiat kreatif Sabah yang lain.
Atama berkata pelbagai isu timbul ekoran pelancaran Borneo.TV oleh IB Media Consultant Work Sdn Bhd tanpa sebarang kajian menyeluruh tentang industri kreatif di Sabah.
Menurutnya antara isu terbabit termasuk ketidaktelusan dalam struktur dan pengurusan Borneo.TV, tiada garis panduan terbuka bagi penyertaan pengkarya tempatan, ketiadaan dasar pemilikan, royalti dan perlindungan hak cipta, pengabaian terhadap peranan studio serta infrastruktur produksi sedia ada.
Juga menjadi kebimbangan adalah ketiadaan mekanisme FPIC mengenai penglibatan komuniti budaya dan adat, kekurangan sokongan pembangunan industri seperti dana, latihan dan pengiktirafan profesional serta ketiadaan platform rasmi untuk berhubung dengan pembuat dasar mahupun dasar khusus yang menyelaras industri.
Atama berkata sehingga kini tiada maklumat rasmi didedahkan kepada umum mengenai struktur dalaman Borneo.TV.
“Siapa yang membuat keputusan editorial, bagaimana pelantikan dilakukan dan bentuk kuasa yang dipegang oleh IB Media serta SMJ.
“Ini mencetuskan kebimbangan terhadap kredibiliti dan integriti platform tersebut.
“Sehingga kini juga tiada makluman awam tentang cara pengkarya Sabah boleh menghantar karya, menyertai produksi atau bekerjasama dengan Borneo.TV.
“Bagi menerbitkan sesuatu karya untuk tayangan televisyen, video atau filem ada kos yang perlu dilaburkan. Adakah ia setimpal dengan bayaran yang bakal diberikan oleh Borneo.TV?
“Malah pihak Borneo.TV tidak menampilkan sebarang dokumen yang memperincikan hak cipta kandungan yang ditayangkan, pemegang milikan karya, serta mekanisme kutipan royalti dan perlindungan hak cipta.
“Tanpa sebarang persediaan awal hal ini akan membuka ruang kepada eksploitasi karya kreatif tanpa perlindungan undang-undang yang jelas,” katanya.
Tambahnya Jatiks juga melihat kenyataan bahawa “Borneo.TV tidak akan menggunakan studio” sebagai satu penafian terhadap peranan studio tempatan serta tenaga kerja teknikal Sabah.
“Ini akan menggagalkan peluang pembangunan ekonomi kreatif setempat serta memperlekeh kemahiran teknikal dalam penghasilan sesebuah karya.
“Dalam masa sama walaupun Borneo.TV diwujudkan untuk mengangkat budaya Sabah namun tiada mekanisme FPIC (Free, Prior and Informed Consent) yang memastikan komuniti etnik mendapat maklumat, kebenaran dan manfaat sewajarnya sebelum budaya mereka diangkat sebagai kandungan.
“Platform ini juga dilancarkan tanpa sebarang pengumuman tentang skim bantuan produksi, program latihan bakat atau laluan pengiktirafan untuk pengkarya tempatan. Ini menjadikan Borneo.TV sekadar ruang tayangan tanpa membina asas industri jangka panjang.
“Industri kreatif Sabah masih tidak mempunyai platform tetap untuk berdialog dengan kerajaan negeri. Tiada dasar negeri khusus yang menyelia industri ini menyebabkan wujudnya jurang antara penggiat dan pembuat dasar serta keputusan dibuat secara tertutup dan tidak inklusif,” katanya.
Justeru itu Atama berkata Jatiks juga ingin mengusulkan beberapa tuntutan penting demi membina ekosistem kreatif yang lebih telus, mampan dan dipacu dengan sokongan dasar yang jelas daripada kerajaan.
Antara usul yang dikemukakan termasuk Penerbitan terbuka perjanjian antara SMJ dan IB Media Consultant Work Sdn Bhd; Penilaian semula ‘15 Manfaat Borneo.TV’; Penubuhan Jawatankuasa Panel Profesional bagi memantau hak dan kepentingan budaya serta warisan Sabah dalam Borneo.TV; Penjelasan hala tuju SMJ terhadap industri kreatif Sabah; Penubuhan agensi negeri untuk industri kreatif Sabah; dan Pengembalian serta pemerkasaan TV Okey sebagai saluran utama Sabah.