Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya Sabah, menerusi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), komited dalam merancang dan membangunkan sistem bekalan air yang mampan dan boleh dipercayai untuk seluruh rakyat Sabah.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury, berkata JANS kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membekalkan air terawat yang bersih, berkualiti dan berterusan kepada semua pengguna di negeri ini.
Menurutnya, JANS juga berusaha mempertingkat penyampaian perkhidmatan secara efisien, profesional dan berorientasikan pelanggan demi menjamin kepuasan pengguna.
“Di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sehingga 2025, JANS sedang melaksanakan siri projek berimpak tinggi untuk menyelesaikan isu bekalan air jangka panjang.
“Ini termasuk 18 projek di Bahagian Pantai Barat, 15 di Pedalaman, 12 di Tawau, lima di Sandakan dan dua di Kudat,” katanya menjawab soalan Adun Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, semasa sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, Selasa.
Annuar sebelum itu bertanya sama ada Kerajaan Negeri mempunyai pelan khas atau pelan tindakan jangka panjang untuk menangani masalah bekalan air terawat, termasuk penggunaan kaedah alternatif seperti penuaian air hujan khususnya di kawasan luar bandar atau kawasan yang sering terjejas bekalan air.
Mengulas lanjut, Limus berkata kementerian sedang mengkaji cadangan untuk melantik perunding bagi menjalankan penilaian menyeluruh dan menyediakan pelan induk bekalan air bagi semua daerah di Sabah, menjelang RMK-13 yang bermula 2026.
“Penilaian ini akan memberi tumpuan kepada strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengoptimumkan bekalan air terawat selamat di seluruh negeri, termasuk cadangan pelaksanaan strategi Grid Air Negeri Sabah.
“Selain itu, kementerian saya telah mengemukakan senarai cadangan keutamaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), termasuk penyelesaian isu bekalan air di Tawau dan Sandakan, pelaksanaan Program Air Tak Berhasil (NRW) secara menyeluruh di Keningau dan Beaufort, serta kerja penggantian paip lama di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan,” katanya.
Limus juga mendedahkan JANS turut merancang membina Sistem Pra-Pemendapan di 22 loji rawatan air seluruh Sabah secara berperingkat di bawah RMK-13, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi JANS telah meluluskan tiga projek di bawah RP5 RMK-12 bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kinabatangan, Beluran dan Pitas.
Berhubung bekalan air alternatif, Limus menjelaskan bahawa JANS tidak membekalkan air alternatif secara langsung kerana tanggungjawab di bawah Enakmen Bekalan Air 2003 (Pindaan 2022) hanya terhad kepada bekalan air terawat kepada pengguna berdaftar.
Bagaimanapun, katanya, JANS menyokong penuh sebarang inisiatif bekalan alternatif dan bersedia memberikan kepakaran teknikal serta kerjasama kepada mana-mana agensi pelaksana.
“Ini membuktikan komitmen kami untuk memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat akses kepada bekalan air selamat dan mampan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, memaklumkan bahawa kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk menggantikan rangkaian paip lama secara berperingkat bagi mengatasi kebocoran dan gangguan bekalan air.
Menjawab soalan tambahan Annuar, Shahelmey berkata Sabah kini mempunyai kira-kira 1,200 kilometer paip simen asbestos (AC) yang berisiko tinggi pecah, terutama di kawasan yang kerap menghadapi gangguan bekalan.
“JANS mempunyai program berterusan untuk menggantikan paip-paip lama ini serta menaik taraf talian penghantaran dan pengagihan di daerah seperti Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu.
“Namun, untuk menggantikan keseluruhan paip lama secara serentak akan melibatkan kos yang sangat tinggi, jadi kerja-kerja ini akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.
Shahelmey berkata, sejak tahun lalu JANS telah melantik kontraktor pembaikan khas bagi menangani masalah paip bocor dan rosak di semua zon negeri.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memperbaiki dan menggantikan paip lama dan bocor yang kini menjadi punca utama gangguan bekalan air di pelbagai kawasan,” katanya.