Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
TVET bentuk masa depan, pacu pertumbuhan ekonomi Sabah: Ketua Menteri
Published on: Thursday, July 10, 2025
Published on: Thu, Jul 10, 2025
By: Noor Zafira Zayn
Text Size:
Text:
TVET bentuk masa depan, pacu pertumbuhan ekonomi Sabah: Ketua Menteri
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi, termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan satu anjakan paradigma yang penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.

Advertisement
“TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan. Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.

“TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasa individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata demikian sempena Simposium TVET Sabah di Magellan Sutera Harbour, di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Advertisement
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi, termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.

“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini.

Advertisement
“Kerajaan Negeri menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka.

“TVET sepatutnya dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan dan inovator masa hadapan.

“Belia Sabah perlu merebut peluang untuk menyertai bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan hari ini selari dengan kehendak pasaran kerja semasa sekali gus menjamin kebolehpasaran graduan,” katanya.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan gelombang pendigitalan hari ini, katanya, kemahiran dalam bidang teknikal, automasi dan kecerdasan buatan (AI) menjadi aset amat bernilai.

“Jika belia Sabah tidak dilengkapi dengan kemahiran ini, kita akan ketinggalan dalam arus perubahan ini. Maka, TVET menjadi platform terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan Sabah,” katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan dalam membangunkan modal insan jelas dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dan pelaburan.

“Usaha-usaha yang kita kini mula membuahkan hasil. Statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di Sabah menurun daripada kira-kira 8.2 peratus pada 2021 kepada 7.5 peratus pada 2023.

“Meskipun kadar ini masih tinggi berbanding kadar pengangguran kebangsaan, namun trend penurunan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan modal insan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Namun, beliau berkata data Jabatan Perangkaan menunjukkan Sabah masih berdepan cabaran apabila lebih separuh atau 58.6 peratus daripada jumlah penganggur di negeri ini terdiri golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun, manakala 55.8 peratus daripada keseluruhan penganggur hanya mempunyai kelayakan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah sahaja.

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa ramai belia memerlukan latihan kemahiran dan pendidikan lanjutan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Sehubungan itu, simposium bertemakan ‘TVET Mampan untuk Masa Depan Modal Insan Sabah: Ekosistem TVET Bersepadu’ amat bertepatan dengan keperluan semasa negeri Sabah.

Hajiji berharap peserta dapat memanfaatkan peluang ini untuk mewujudkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri sepanjang dua hari simposium berlangsung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Simposium TVET Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul dalam sidang media memberitahu, pihaknya turut mencadangkan untuk TVET diperluas kepada skop industri kampung.

“Ini sebab kenapa saya nyatakan dalam ucaptama saya pagi tadi, industri TVET di kampung boleh diperluas dalam skop pelancongan berasaskan komuniti.

“Ini kerana jika kita ada operator yang boleh mengendalikan pelancongan berasaskan komuniti, mereka pasti dapat bersaing dengan operator pelancongan luar yang lain, sekali gus meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Simposium TVET Sabah 2025 berlangsung selama dua hari sehingga hari ini (Khamis). 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here