LAHAD DATU: Usaha memacu pembangunan yang konsisten dan mensejahterakan rakyat di daerah ini menjadi keutamaan perjuangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Lahad Datu.
Ketua Srikandi Bersatu Lahad Datu, Balkis Kalinggalan (
gambar), menzahirkan tekad untuk menjadi pemimpin yang mesra rakyat serta dekat di hati masyarakat.
Beliau yang juga Exco Srikandi Bersatu Malaysia berhasrat menjadi platform untuk menyuarakan permasalahan rakyat ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya mahu kawasan Lahad Datu dikenali dengan pembangunan yang lestari dan rakyat yang berdaya saing. Keutamaan saya adalah untuk membantu rakyat menjana pendapatan, khususnya anak-anak muda yang terkesan dengan isu pengangguran,” katanya.
Balkis yang juga Bendahari Srikandi Bersatu Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Balkis, generasi muda di daerah ini perlu digerakkan melalui peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta galakan keusahawanan agar mereka dapat menyumbang secara aktif kepada ekonomi daerah.
Justeru itu, beliau berjanji akan terus komited membantu rakyat dan memperjuangkan hak serta peranan mereka, termasuk golongan wanita di daerah ini.
Katanya, isu-isu kebajikan rakyat juga akan sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
"Semoga dengan sokongan semua warga Lahad Datu, kita dapat bersama-sama membangunkan daerah ini dan mensejahterakan masyarakat Lahad Datu,” katanya.