Kota Kinabalu: Umno Putatan yakin kawasan Tanjung Keramat, Petagas dan Tanjung Aru bakal menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN17).
Ketua Bahagiannya, Jeffrey Nor Mohammad berkata kemenangan itu mampu dicapai sekiranya pucuk pimpinan BN mempertimbangkan untuk meletak calon di semua kerusi terbabit.
Pada masa sama katanya, keyakinan itu hasil gerak jentera BN ketika ini di ketiga-tiga kerusi itu yang sebelumnya adalah milik BN selain Tanjung Keramat iaitu Petagas dan Tanjung Aru.
“Kerusi Tanjung Keramat adalah milik kami (BN), begitu juga Petagas yang merupakan kubu kuat BN sebelum ini, malah mempunyai cawangan Umno terbanyak di bahagian ini.
“Kerusi Tanjung Aru turut pernah disandang BN sebelumnya. Sudah tentu daripada segi meletakkan calon di semua kerusi ini akan membuka potensi kemenangan buat BN,” katanya ketika ditemui di Program Malam Galau Bersama Pemuda Umno Sabah di Tanjung Aru, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ketua Umno Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Putatan Reduan Aklee.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, situasi politik tidak menentu ketika ini khususnya di Sabah turut memberi kelebihan kepada BN untuk menghadapi PRN17 dengan lebih selesa.
“Di Sabah (ketika ini) menghadapi banyak masalah yang sudah tentu menyebabkan rakyat agak gusar dengan keadaan ini, seterusnya menyumbang berlakunya perubahan dalam politik.
“Bagi saya, sudah tentu isu-isu ini akan memberi kesan mendalam terhadap rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai isu integriti yang melanda kerajaan negeri ketika ini.