KIULU: Suasana padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat, membuatkan penduduk sekitar tergamam seketika.
Bagaimanapun, ia disusuli tepukan sangat gemuruh sekali gus mengubah suasana tersebut.
Dentuman tersebut rupa-rupanya hanya gimik penutup kepada demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), sempena Program Pelan Strategik Mindef (PSM) anjuran Formasi 5 Divisyen.
Demonstrasi yang mempamerkan kecekapan dan ketangkasan anggota TDM itu memukau lebih 1,000 pengunjung, majoritinya pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar Kiulu.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, yang merasmikan program tersebut, berkata inisiatif itu sejajar dengan Teras Keempat Pelan Strategik Mindef 2021–2025, iaitu memperkasa literasi pertahanan komuniti luar bandar.
“Matlamat utama ialah memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat awam, di samping menyebarkan maklumat pertahanan, memperkenal inovasi serta menggalakkan penglibatan aktif dalam agenda keselamatan negara,” katanya.
Pengisian lain termasuk pameran aset dan senjata TDM, kerjaya tentera termasuk Askar Wataniah dan Perajurit Muda, pemeriksaan kesihatan dan rawatan pergigian percuma, ceramah patriotisme bersama pegawai dan veteran ATM, kuiz keselamatan, sukaneka dan gotong-royong.

Pelajar SMK Tun Fuad Stephens, Cleopatra Raymond, 16, berkata persembahan itu memberikan gambaran jelas mengenai tahap disiplin dan latihan intensif anggota tentera.
“Saya kagum melihat mereka bertempur tanpa senjata dan melalui lingkaran api dengan pergerakan yang sangat tangkas,” katanya, yang bercita-cita untuk menyertai pasukan keselamatan pada masa hadapan.
Empat sekolah yang terlibat — SMK Tun Fuad Stephens, SK Pekan Kiulu, SK Pukak dan SK St Joseph Tombongon — turut menerima sumbangan peralatan pembelajaran sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menyokong pendidikan dan kesedaran pertahanan.
Turut hadir Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin, serta Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Jagjit Singh A/L Indar Singh.