Kota Kinabalu: Sabah kini melangkah ke hadapan dalam pembangunan industri hijau menerusi penerokaan industri penanaman mikroalga, yang berpotensi menjana biofuel, bioplastik dan biojisim sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Pengerusi Taman Agro-Perindustrian Sabah (SAIP) Sdn Bhd, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, negara kini sangat komited dalam memacu agenda pembangunan mampan dan hijau, dan Sabah juga tidak ketinggalan untuk membuka lembaran baharu dalam industri tersebut.
“Jadi, agenda pembangunan hijau ini selari dengan perancangan Sabah. Bukan hanya pembangunan hijau, kita juga ada agenda pembangunan ekonomi biru yang sangat relevan dengan agenda hari ini.
“Seperti diketahui, alga ialah tumbuhan hijau yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri biojisim serta menjana tenaga hijau dan mampan.
“Selain itu, alga juga boleh dibangunkan sebagai satu industri baharu kerana kita dimaklumkan bahawa hasil hiliran daripada alga boleh menghasilkan biofuel, bioplastik dan sebagainya. Semua ini mempunyai potensi besar dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang sangat menguntungkan untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAIP dan syarikat CCE Power Sdn Bhd di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, Jin Zhe berkata, beliau teruja menantikan hasil yang bakal dicapai menerusi pelaksanaan MoU tersebut yang ditetapkan dalam tempoh tiga tahun.
“Saya amat menantikan hasil di tapak pelaksanaannya di Kimanis, Papar dan berharap mereka akan berjaya kerana saya rasa model mereka agak berbeza berbanding apa yang Sarawak sedang jalankan.
“Syarikat ini menggunakan sistem tangki tertutup untuk menanam mikroalga dan kita telah mendengar beberapa hasil makmal yang menunjukkan alga mereka mempunyai kandungan kalori setinggi 5,000, hampir setara dengan arang batu.
“Namun, itu baru dibuktikan secara teori dan kita perlu pastikan ia boleh dibuktikan secara komersial juga. Saya fikir ini peluang yang sangat baik untuk Sabah manfaatkan,” katanya.
Jin Zhe berkata, terdapat keperluan untuk membawa masuk aktiviti pembuatan berteknologi tinggi ke Sabah iaitu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda serta mendorong pemindahan teknologi ke negeri ini. Kita perlu guna inovasi dan teknologi untuk melonjakkan pembangunan Sabah dengan membawa masuk aktiviti pembuatan berteknologi tinggi agar anak muda kita memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus membolehkan pemindahan teknologi berlaku. Bayangkan, jika kita berjaya bangunkan hab pembuatan mikroalga dan biojisim di Sabah, banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
Saintis muda kita boleh bekerja di sana dan belajar teknologi serta idea inovatif yang dibawa oleh syarikat ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas CCE Power Holdings Sdn Bhd, Tham Weng Kong berkata, syarikatnya merupakan yang pertama menggunakan sistem ‘closed tank’ (kaedah dalam tangki tertutup tanpa cahaya matahari) dalam penanaman mikroalga di Malaysia dan ia berbeza daripada kaedah konvensional yang bergantung kepada fotosintesis.
“Di Sarawak, mereka menggunakan sistem terbuka dan kaedah berbeza. Kami pula menggunakan pendekatan heterotropik (tanpa fotosintesis), yang membolehkan proses penuaian mikroalga dilakukan lebih cepat, hanya mengambil masa lima hari hingga seminggu.
“Kandungan pepejal dalam tangki boleh mencapai sekitar 60 peratus dan saya boleh katakan inilah sistem ‘closed tank’ pertama bagi penanaman mikroalga.
“Teknologi ini bukan sahaja berpotensi untuk dimajukan secara komersial, tetapi juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar di Sabah,” katanya.