TAWAU: Empat rumah penduduk di Kampung Sri Menanti Blok C di kawasan Otentik Tanjung Batu, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 5.10 petang Jumaat.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun api merebak dengan cepat disebabkan struktur binaan semua kediaman penduduk terlibat berasaskan kayu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memberitahu panggilan kecemasan diterima pada jam 5.15 petang.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tawau dikerahkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 18 anggota diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jehrey Ibno.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 5.26 petang, pasukan terus bertindak menjalankan kerja-kerja memadam api dan mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Pasukan menggunakan satu aliran 200 kaki dengan dua pancutan dan turut mendapatkan air dari sumber terbuka,” menurut kenyataan itu.
Operasi ditamatkan pada jam 7.45 petang selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi itu.
Enam anggota Pasukan Sukarelawan Bomba Komuniti Titingan turut serta menjalankan operasi memadam api dan mengawal kebakaran.