TAWAU: Polis menangkap seorang warga asing yang disyaki mengamuk dan mengugut untuk menetak penghuni di sebuah rumah di Kinabutan Batu 5 Jalan Apas di sini, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin berkata tindakan agresif dan ugutan jenayah oleh suspek berumur lingkungan 30an itu dilaporkan oleh mangsa yang juga ahli keluarganya sendiri.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam apabila suspek dikatakan mengamuk sambil memegang kayu di rumah mangsa dan mengugut akan menetak ahli keluarganya menggunakan parang,
Polis menahan suspek kira-kira sejam selepas insiden itu dilaporkan dan merampas sebatang kayu sepanjang kira-kira 70 sentimeter.
Siasatan awal menunjukkan suspek, yang juga sepupu kepada isteri mangsa, dipercayai melakukan perbuatan terbabit tanpa sebarang motif atau sebab yang jelas.
Pemeriksaan lanjut oleh polis turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk bekerja dan tinggal di negara ini.