Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam fasa akhir memuktamadkan Dasar Pengguna Negara (DPN 2.0) sebelum akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, DPN 2.0 akan menjadi rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif serta aktiviti kepenggunaan bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030.
Katanya, DPN 2.0 dirangka bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks dalam ekosistem kepenggunaan.
Menurutnya, inisiatif yang sejajar dengan aspirasi menyemarakkan kesedaran dan akitivisme konsurisme itu akan turut memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap pemegang taruh berkaitan pengguna.
“DPN 2.0 juga memberi penekanan kepada isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar yang inklusif dan responsif antaranya, pelaksanaan Program Payung Rahmah Madani.
“Ini termasuk perluasan penggunaan Portal Ihsan Madani sebagai rujukan maklumat harga dan barangan keperluan serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Festival Kepenggunaan 2025 (Confest 2025) sempena acara kemuncak sambutan Hari Pengguna Kebangsaan di ITCC, di sini, Ahad.
Lebih 900 peserta dari seluruh negara menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan di program dengan tema ‘Semarak Konsumerisme’ selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Julai itu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, Confest 2025 juga akan menjadi platform penting untuk mengumpul syor, pandangan dan aspirasi anak muda yang akan dijadikan input bagi penggubalan DPN 2.0.
Katanya, Skuad Kita Pengguna (SKiP) juga telah ditubuhkan di bawah DPN 2.0 kerana gerakan program ini memerlukan partisipasi pelbagai pemegang taruh termasuk masyarakat awam.
“Skip merupakan salah satu strategi KPDN mendapatkan penglibatan orang ramai, sejajar inisiatif ‘Kita Gempur’ seterusnya menjadi rakan strategik KPDN dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.
“KPDN mensasarkan pertambahan ahli SKiP seramai 25,000 orang menjelang hujung tahun 2025 ini, seterusnya menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan DPN 2.0.
“Justeru sempena Confest 2025 ini, kita melancarkan logo rasmi SKiP, sekaligus menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan bagi menangani isu-isu kepenggunaan secara lebih responsif dan inklusif,” katanya.