SANDAKAN: Mayat seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang dipercayai diserang buaya ditemukan kira-kira 1 kilometer dari perahunya di Taman Kenari pada Selasa.
Mangsa berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Ubing Markun itu kali terakhir dilihat sekitar jam 4 petang Isnin, ketika dia keluar dari rumahnya di Kampung Batu Putih menuju ke Sungai Sibuga menaiki perahu.
Sekitar jam 5.20 petang, seorang saksi melihat seekor buaya menyerang perahu mangsa. Saksi itu segera ke lokasi namun mendapati mangsa telah hilang. Kesan gigitan yang dipercayai daripada buaya turut ditemui pada perahu mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata balai itu menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi berkenaan.
Operasi SAR itu membabitkan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Marin, Pasukan Khas Konflik Buaya Jabatan Hidupan Liar Sandakan serta 10 penduduk dan nelayan tempatan menggunakan dua bot.
Ubing meninggalkan dua anak – seorang lelaki berusia 11 tahun dan seorang perempuan berusia 9 tahun.
Beberapa tahun lalu, mayat seorang lagi lelaki asing turut ditemui, dipercayai diserang buaya di kawasan berdekatan,
Susulan kejadian itu, Jabatan Hidupan Liar Sandakan memasang papan tanda amaran di kawasan terbabit.
Papan tanda itu masih kekal di lokasi hingga ke hari ini.