MAJLIS PERBANDARAN giat menangani masalah anjing berkeliaran tanpa pengawasan di kawasan awam sekitar Penampang dengan sembilan ekor anjing berjaya ditangkap sejak awal Julai.
Jurucakap agensi itu berkata empat ekor anjing liar ditangkap di kawasan Kompleks Sukan Penampang, dua ekor masing-masing di Country Heights Plaza dan tapak pembinaan di Jalan Kolam-Minintod manakala seekor lagi ditemui berkeliaran di sekitar deretan kedai di Donggongon.
Katanya antara tiga hingga lima anggota terlibat dalam operasi menangkap anjing ini.

“Unit Haiwan dan Vektor (AVU) Majlis terlebih dahulu memasang sangkar di beberapa lokasi ini,” katanya.
“Mereka kemudian kembali bersama rakan sekerja dari Unit Kawalan Makanan, Alam Sekitar dan Penjaja untuk melengkapkan operasi.”
Beliau berkata anjing-anjing yang ditangkap “diletakkan untuk diambil sebagai haiwan peliharaan” dengan empat ekor telah diambil oleh dua pemilik tanah persendirian masing-masing dari Kampung Kibabaig dan Sugud untuk menjaga kebun mereka.

Jurucakap itu berkata anggota AVU menjalankan pemeriksaan berkala di hartanah kediaman dan komersial dalam kawasan kutipan cukai Majlis bagi memastikan orang awam tidak terganggu oleh kehadiran anjing liar.
“Anggota kami diberi kuasa untuk menangkap mana-mana anjing yang berkeliaran tanpa pengawasan.
“Anjing yang memakai tag akan disimpan sementara dan pemilik diberi tempoh tertentu untuk menuntutnya.”
Katanya pemilik anjing perlu menyelesaikan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pendaftaran dan Kawalan Anjing Majlis 1987 sebelum haiwan peliharaan mereka dikembalikan.
Beliau berkata pemilik berisiko dikompaun sehingga RM100 mengikut Undang-Undang Kecil tersebut.
“Bagi kesalahan berulang mereka boleh diheret ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000.
“Bagi kesalahan berterusan denda tambahan sebanyak RM200 sehari boleh dikenakan untuk setiap hari kesalahan itu berterusan.”
Pemeriksaan Majlis di kawasan Jalan Minintod dilakukan susulan aduan seorang penunggang motosikal di Penampang yang terjatuh selepas seekor anjing liar tiba-tiba melintas di hadapannya.
Cherylynn mengalami lebam di kedua-dua lutut dan luka di salah satu lengan manakala anjing tersebut melarikan diri dalam keadaan terhincut.
“Saya dalam perjalanan pulang ke apartmen saya di sepanjang Jalan Bantayan-Minintod pada jam 3 petang, Sabtu lalu apabila kejadian itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata dia bernasib baik kerana tiada kenderaan lain di kawasan itu ketika dia jatuh jika tidak dia mungkin telah dilanggar.
“Saya perasan anjing itu berlari keluar dari kawasan berpagar yang sedang dalam pembangunan.”
Cherylynn berharap pihak berkuasa tempatan dapat campur tangan untuk mengelakkan orang awam lain mengalami nasib sepertinya atau lebih teruk akibat kehadiran anjing berkeliaran di kawasan berkenaan.

“Majlis perlu mempertingkatkan tindakan untuk memastikan pemilik anjing bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka di kawasan awam.
“Jika gagal mungkin Majlis boleh mempertimbangkan kaedah yang lebih berkesan untuk mengawal populasi anjing liar di sekitar kawasan majlis.”
Penunggang motosikal itu turut memberikan lokasi kejadian kepada Hotline dan maklumat tersebut telah disampaikan kepada pihak Majlis.
Jurucakap berkata lima anggota AVU melakukan pemeriksaan di pelbagai premis di “kawasan bermasalah” itu tidak lama selepas mereka dimaklumkan tentang kejadian berkenaan.
Mereka memeriksa kawasan milik sebuah persatuan penyelidikan agama serta tapak pembinaan di kawasan itu.
“Tiada anjing liar ditemui di dalam kawasan persatuan tersebut ketika pemeriksaan dijalankan.
“Bagaimanapun beberapa ekor anjing dilihat berkeliaran di kawasan tanah yang sedang dibangunkan.
“Pegawai kami berbual dengan seorang mandur yang memberitahu bahawa anjing liar sering menceroboh kawasan tersebut.”
Jurucakap itu berkata kakitangan Majlis kembali semula beberapa hari kemudian untuk memasang sangkar.
“Kami akan terus memantau kawasan tapak pembinaan itu dari semasa ke semasa bagi mengurangkan gangguan yang disebabkan oleh anjing liar di situ.”