Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 41 tahun didenda RM2,000 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda atas kesalahan menjual produk ‘Peria Katak Asli’ yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nizam Indra Muhammad Hasan yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Nizam yang juga pemegang pasport Indonesia didapati menjual sebotol produk tidak berdaftar itu kepada seorang wanita pada 28 November 2023 sekitar jam 2.13 petang di Rakan Jaya Trading, Kedai Kepayan Commercial Centre, Penampang.
Dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman mahkamah menyatakan bahawa kes seperti ini semakin berleluasa pada masa kini dan perlu diberikan amaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.
Semasa rayuan Nizam yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan pertamanya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Namun Pegawai Pendakwa Jabatan Farmasi Abu Suffian A Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal demi keselamatan dan kesihatan awam agar menjadi pengajaran kepada Nizam serta amaran kepada orang lain yang berhasrat melakukan kesalahan serupa.
Abu memaklumkan mahkamah bahawa nilai produk yang dirampas ialah RM40 dan produk tersebut tidak berdaftar dengan KKM serta penggunaannya boleh mendatangkan risiko kesan sampingan kepada orang awam.