LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Ladang Permai, di sini, Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.53 pagi.
Satu pasukan anggota Bomba dan Penyelamat segera digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.08 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah Toyota Hilux telah terjunam ke dalam gaung. Seramai 15 orang terlibat dalam kejadian itu, termasuk tujuh lelaki, seorang kanak-kanak lelaki dan tujuh wanita.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” menurut kenyataan jabatan itu.
Pasukan bomba kemudian membantu membawa kesemua mangsa naik semula ke jalan utama.
Seorang wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut jabatan itu, seramai 13 mangsa cedera termasuk pemandu telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.53 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.