Kota Kinabalu: Seorang buruh berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan 10 kali sebatan rotan kerana memiliki 33.50 gram syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Arkim Siroma yang didapati bersalah atas pertuduhan dihadapinya pada Rabu.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Arkim dan mensabitkannya atas kesalahan memiliki dadah itu pada jam 11.20 pagi, 16 Oktober 2024 di sebuah kawasan bukit di Kg Lok Buno Sepanggar, Manggatal.
Kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Arkim menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas tamat menjalani hukuman.
Dalam mitigasinya, Arkim merayu hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan kesalahan itu serius dan berleluasa.
Pihak pendakwaan mengemukakan tiga saksi manakala empat saksi dipanggil semasa peringkat pembelaan.